Terkejut tengok nenek 65 tahun jadi pemain League of Legends. SETAHUN yang lalu, Chiang Yi-Shu, seorang warga emas berusia 65 tahun, langsung tidak tahu apa-apa tentang komputer.
Namun kini, dia adalah pemain League of Legends yang baru sahaja bertarung dalam kejohanan esports pertamanya.
Chiang merupakan salah seorang pemain dalam pasukan Hungkuang Evergreen Gaming, yang ditubuhkan pada musim panas ini.
Pasukan tersebut yang mana ahlinya berusia antara 62 hingga 69 tahun, diasaskan oleh Huang Jianji, pengarah jabatan pembangunan permainan multimedia dan aplikasi Universiti Hungkuang.
“Terus terang, saya tahu sangat sedikit tentang komputer. Saya tidak pernah terfikir untuk mempelajarinya, kerana saya lebih suka berinteraksi dengan orang ramai,” kata Chiang.
“Tetapi apabila saya mula bermain, saya fikir ia bagus untuk minda. Dan terutamanya penggunaan tangan, anda perlu mempunyai ketangkasan,” ujarnya.
Chiang berlatih di rumah dan di universiti apabila dia mempunyai masa.
Dia bermain kira-kira lima jam setiap minggu, menurut jurulatihnya, Ego Hsu.
Walaupun menetap di New Taipei City, Chiang pergi ke universiti di Taichung, kira-kira sejam perjalanan dengan kereta api laju, untuk menghadiri kelas latihan setiap minggu sebagai persediaan untuk pertandingannya.
Berbicara mengenai pendekatan permainan, Hsu berkata, dengan ahli pasukan yang lebih tua, dia menggunakan pendekatan yang berbeza.
“Jadi, apabila mereka bermain permainan, saya akan membuatkan mereka menikmatinya dan bukannya membunuh watak mereka sepanjang masa. Saya fikir jika watak itu dibunuh sepanjang masa, ini akan menyebabkan mereka kemurungan.
“Jika watak mereka dibunuh dengan cepat, saya akan menyalahkan diri sendiri kerana tidak mengajar mereka dengan baik,” tambahnya.
Walaupun pasukan yang disertainya tewas dalam kejohanan pada Sabtu lalu, namun bagi Chiang dan rakan sepasukannya, mereka gembira kerana berpeluang untuk mempelajari sesuatu yang baru terutamanya mengenai teknologi.
“Ia tidak susah, tetapi seseorang mesti mempunyai keazaman untuk melakukannya. Saya telah hidup untuk beberapa lama dan saya tidak sepatutnya membiarkan perkara itu (teknologi) mengalahkan saya… dan saya berjaya,” ujarnya.