Umie Aida geram video selawatnya bersama ustazah dikecam. Pelakon Datin Seri Umie Aida menerima dengan terbuka apabila dikecam netizen yang mempersoalkan maruah dan aurat suara perempuan gara-gara memuat naik video memaparkan beberapa artis wanita mengalunkan selawat di hadapan umum.
Video tersebut memaparkan Umie bersama Zizi Kirana dan pendakwah terkenal, Ustazah Asni Mansor mengalunkan selawat di atas pentas semasa Festival Sunnah yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah pada Sabtu lalu.
Umie atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad Ali, 49, bagaimanapun meminta netizen untuk berhati-hati dalam percakapan.
“Saya terima teguran dengan hati terbuka tetapi tiada lelaki sepanjang majlis berlangsung baik di dalam mahupun di luar stadium.
“Antara lirik qasidah adalah puji-pujian kepada Allah, kisah-kisah Rasulullah dan berselawat. Bukannya satu nyanyian kosong.
“Sebarkan kebaikan sangat luas caranya dan berfasa-fasa untuk mencapai peringkat yang sempurna di mata manusia,” ulas pelakon filem Dukun itu.
Adik kepada Erma Fatima itu pada masa sama turut meminta netizen menyokong kegiatan penghijrahannya memandangkan masih banyak yang perlu dipelajari daripada individu lebih arif mengenai hal ilmu agama.
“Artis seperti saya yang baru berhijrah banyak kelemahan seperti bayi yang baru belajar merangkak.
“Kecaman anda boleh membuatkan orang baru berhijrah seperti saya akan menjadi takut untuk mendekati insan-insan ‘masturat’ seperti anda.
“Semoga kita sentiasa dalam rahmat-Nya dan redha Allah. Saya mohon maaf atas kata-kata saya dan semoga kita bersama-sama berpegangan tangan dalam satu tujuan ke jalan-Nya dengan menyebarkan kasih sayang,” tambahnya.
Umie merupakan selebriti wanita yang dilihat semakin aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti keagamaan.
BACA:
JAIS buru lelaki sejenis buat aksi 18SX dalam surau
Mahu hidup cashless, lelaki nekad tanam cip kad bank di tangan