Pelakon veteran puji anugerah Angkasa tahun ini, “ini baru betul!”. Pelakon Lan Zailan, 64, memuji usaha penganjur Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA 2022), yang menghargai penggiat seni veteran semasa hayat mereka masih ada.
Ia berikutan pemilihan Fauziah Nawi yang dinobatkan Tokoh Seri Angkasa 2022 pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA 2022), Ahad lalu.
Pengiktirafan terbabit menyaksikan pelakon berusia 69 tahun ini menerima hadiah sebuah kereta Mitsubishi Xpander bernilai RM100,000, wang tunai RM10,000 dan trofi.
“Ini baru betul. Waktu tokoh itu masih ada, kita kenang jasa dan bagi apa yang patut. Ini tidak, selalunya bila mereka dah tiada baru nak iktiraf itu ini.
“Hargai semasa dia ada. Jika dia dah tiada, penghargaan pun tak berguna lagi. Mungkin juga perkara ini berlaku secara kebetulan selepas saya meluahkan apa yang terpendam baru-baru ini.
“Apa yang dibuat ini wajar diteruskan bukan saja kepada golongan tertentu tapi kepada semua penggiat seni tak kira penyanyi, wartawan, jurugambar, kru belakang tabir dan sebagainya,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, semasa ditemui pada pengebumian jenazah pelakon Hisham Ahmad Tajuddin di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, 13 Oktober lalu, Lan Zailan meminta pihak-pihak tertentu menghargai seseorang penggiat seni semasa hayatnya ada.
Dalam perkembangan lain, Lan Zailan berkata, dia masih aktif berlakon seperti biasa.
“Saya sekarang banyak ditawarkan watak bapa sedangkan saya sukakan watak jahat. Pengurus produksi kata tak payahlah buat watak begitu kerana saya dah tua.
“Saya selalu usik mereka, kamu ingat orang tua-tua kat luar itu semua baikkah? Saya juga cakap pada mereka dan penolong pengarah, kalau yang tua-tua jadi jahat dalam drama, itu satu contoh terbaik,” katanya.
Menurutnya drama ini pasti akan ditonton oleh satu keluarga termasuk bapa dan anak.
“Apabila tengok, bapa akan kata dengan anak dia tak nak jadi begitu. Ini satu contoh muhasabah diri yang bagus,” katanya.