“Dia ni ketagih belajar ke?”, Dah ada 4 ijazah serta 3 kelulusan profossional, nak sambung Phd pulak..

Oleh INFORAKYAT

“Dia ni ketagih belajar ke?”, Dah ada 4 ijazah serta 3 kelulusan profossional, nak sambung Phd pulak. Dah 5 Kali Masuk Uni & Ada 4 Ijazah Serta 3 kelulusan Professional, Lelaki ‘Ketagih’ Belajar Kini Sambung PhD Pula

“Tuntutlah ilmu hingga ke menara gading”. Itu kata-kata keramat yang sentiasa menjadi ‘siulan’ ketika di sekolah. Pastinya ramai yang mempunyai impian untuk menjejakkan kaki ke universiti kerana ia sering dianggap sebagai platform untuk mendapatkan masa depan yang cerah.

Pun begitu, perjalanan menuntut ilmu pastinya penuh liku.

Malah jika ditanya kepada kebanyakan graduan, mungkin ramai yang berfikir dua tiga kali untuk menyambung pelajaran dek kekangan kewangan dan komitmen lain seperti bekerja, kesibukan menguruskan bisnes mahupun anak-anak yang masih kecil. Bagi golongan ini, satu ijazah sahaja sudah mungkin cukup bagi mereka untuk melangkah ke alam kerjaya.

Namun, ada juga yang memilih haluan berbeza.

"Dia ni ketagih belajar ke?", Dah ada 4 ijazah serta 3 kelulusan profossional, nak sambung Phd pulak..

Kerana kecintaan luar biasa terhadap ilmu, Fariz Helmi, 38, sudah lima kali menyambung pelajaran ke universiti. Bukan di satu universiti, malah dia juga turut diterima masuk ke empat universiti di Malaysia hingga pernah mendapat Best Academic Award dan lulus tiga kelulusan profesional.

Kongsi Fariz, dia telah menamatkan pengajian di peringkat diploma sebanyak satu kali, mempunyai tiga kelulusan profesional dan telah menerima empat ijazah termasuklah Ijazah Sarjana.

Bermula dari pelajar Late Bloomer

Bukan saja-saja, rupanya ada sebab mengapa lelaki ini memilih untuk terus melanjutkan pelajaran sehingga memiliki empat ijazah dan satu diploma.

Menurutnya, dia tergolong dalam kategori pelajar Late Bloomer di mana dia sering kali gagal dalam peperiksaan pada zaman persekolahan dan hampir tidak menyambung belajar di universiti selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Walau bagaimanapun, apabila melangkah ke alam universiti, saya mula sedar bahawa mendapat gred yang rendah ketika SPM bukan penentu masa depan. Alam universiti telah mengubah hala tuju hidup saya,” katanya ketika dihubungi oleh SK.

Ada empat ijazah

Bercerita mengenai perjalanan akademiknya, anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik ini memulakan perjalanan Pengajian Pertama dalam Diploma Fast Track Pengurusan Perniagaan di UiTM Shah Alam pada tahun 2002.

Dia kemudian meneruskan Pengajian Kedua di universiti yang sama dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kewangan (BBA Finance) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada tahun 2004 hingga 2006.

Pada tahun 2009 pula, dia memutuskan untuk menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains Kewangan (Master Degree) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ketika melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana di UUM, dia mendapati minatnya dalam bidang Harta Tanah sangat tinggi kerana peluang pekerjaan dan perniagaan dalam sektor hartanah sangat luas.

Jelasnya, dia pada ketika itu ingin menjadikan harta tanah sebagai bidang kepakaran beliau sekali gus terus menyambung Pengajian Keempat beliau dalam bidang Sarjana Harta Tanah (Master Degree) di Universiti Malaya (UM) pada tahun 2013.

Makin belajar makin dahagakan ilmu. Selepas menamatkan pengajian di situ, dia merasakan serba tidak cukup dengan ilmu harta tanah yang diperolehi.

“Terdapat banyak soalan berkaitan harta tanah yang belum dijawab, pengiraan penilaian hartanah yang tidak sempurna pada ketika itu,” katanya.

Susulan itu dia membuat keputusan untuk mendaftar sebagai pelajar bagi Pengajian Kelima Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Hartanah (Degree) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 2014.

Tiga kelulusan profesional

Selain pencapaian Akademik, Fariz juga telah mengambil peperiksaan profesional yang diiktiraf oleh negara Malaysia dan juga antarabangsa.

Ini sekaligus membolehkannya mempunyai tiga kelulusan profesional iaitu International Certified Valuation Specialist (IACVS), Certified Financial Planning (CFP) dan Shariah Registered Financial Planner (RFP).

Tidak terhenti setakat itu, Fariz juga sedang mengusahakan pengajian PHD di UTM dalam bidang Pelaburan hartanah.

Bercakap mengenai kos kewangan pengajian pula, Fariz memaklumkan bahawa sumber bayaran yuran pembelajarannya datang dari dua sumber iaitu bantuan biasiswa dan juga pengeluaran akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sepanjang tempoh belajar, Fariz juga telah dianugerahkan tiga biasiswa iaitu HSBC Scholarship Award, Mybrain15 Scholarship dan Biasiswa MARA.

Ditanya mengenai cabaran di universiti, dia berkata bahawa proses pengajian di UTM sangat mencabar baginya kerana tempoh pengajian yang panjang.

“Allah saja yang tahu sudah berapa kali saya hampir berputus asa menamatkan pengajian kali ini.

“Saya mengambil masa selama tujuh tahun untuk menamatkan pengajian kerana tidak mendapat apa-apa pengecualian subjek dalam program ijazah tersebut.

“Banyak juga cabaran lain contohnya pengurusan keluarga dan lain-lain,” katanya.

Tetapi pada akhirnya, kesemua cabaran tersebut dapat ditempuhi dan dia berjaya lulus program ijazah itu dengan cemerlang sekaligus menerima status ‘Anugerah Dekan’ bagi majlis konvo baru-baru ini.

Dalam pada itu, Fariz turut mendapat penghargaan iaitu dilantik sebagai Industry Advisory Panel bagi tiga universiti terkemuka di Malaysia iaitu Albukhary International University (AIU), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pelantikan tersebut adalah pengiktirafan buat dirinya sebagai seorang yang pakar dalam bidang harta tanah dan kewangan.

Rancang ingin jadi penasihat kewangan

Di masa hadapan pula, Fariz merancang untuk menubuhkan Firma Penasihat Kewangan yang bertauliah merangkumi aset pelaburan ekuiti, pelaburan tetap dan juga pelaburan hartanah apabila dia bersara dari dunia pekerjaan.

Dalam perkongsian yang dikirim kepada SK, Fariz turut menitipkan nasihat kepada orang ramai yang ingin menyambung pengajian.

Walaupun ramai orang pada hari ini hanya berfikir tentang bagaimana ingin menjadi kaya dalam masa yang singkat, Fariz berpendapat sebaliknya.

“Bagi saya duit dan harta di dunia ini datang dan pergi, akan tetapi kelulusan akademik dan ilmu di dada akan kekal bersama individu seumur hidup.

“Jadi bagaimana teruk dugaan yang perlu diharungi serta tempoh masa yang perlu diambil, ilmu adalah teras kejayaan individu.

“Dengan ilmu dan kelulusan yang ada, seseorang itu akan terus berdiri dan berjaya tidak kira apa jenis dugaan yang dirintangi,” katanya.

Melalui perkongsian Fariz, semangat dirinya untuk terus menuntut ilmu sememangnya perlu dicontohi.

Mungkin ada yang berfikir tidak mampu untuk membawa subjek di universiti tetapi kejayaan Fariz boleh dijadikan semangat untuk terus menuntut ilmu.

Lagi pula, kehidupan di universiti boleh mengubah personaliti, sikap seseorang menjadi lebih matang, berdikari dan lebih positif. Tidak dinafikan akan ada cabaran ketika menuntut ilmu, namun kepuasan apabila menghadapi cabaran tersebut boleh mengatasi segala-galanya.

Oleh demikian, sekiranya ada niat untuk sambung belajar, teruskanlah dan jangan
berhenti di sekerat jalan. Fariz Helmi telah membuktikan kepada kita yang dia boleh berjaya, jadi tiada alasan untuk kita tidak berjaya

BACA:

Polis tunjuk tanda bagus kepada driver lori selapas tolong halang Vellfire guna lorong kecemasan

Teruk kena hentam aniaya ejen sendiri, Neelofa dedah cerita sebenar

‘Boustead Naval bayar hutang lapuk guna duit projek LCS’, dedah PAC