Order katering untuk 500 orang sekali yang datang 1000 orang, owner katering bengang. Jangan mudah menuding jari kepada pengusaha majlis perkahwinan apabila kuantiti makanan yang disediakan untuk sesebuah majlis perkahwinan tidak mencukupi.
Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Muhidden berkata, isu yang kerap dialami pengusaha majlis perkahwinan adalah jumlah tetamu melebihi tempahan makanan oleh penganjur majlis.
“Tidak patut mendengar (dakwaan) katering saja buat salah. Undangan jemput 200 kad yang dimaklumkan kepada kita (pengusaha), tetapi dijemput 400, 500 orang.
“Lepas itu kata kurang makanan dan ini yang amat biasa berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Zarinah berkata, beliau pernah mengalami situasi tersebut apabila pelanggannya menempah makanan untuk 500 orang, tetapi jumlah tetamu 1,000 orang.
Menurutnya, pelanggan apabila ditanya perkara itu hanya memberi jawapan tetamu lebih daripada jumlah jemputan kerana dipelawa oleh saudara-mara mereka.
“Berlambak orang sampai tak cukup kerusi dan meja. Rupa-rupanya ada persatuan-persatuan juga dijemput ke majlis perkahwinan,” katanya.
Sementara itu, seorang pengusaha katering hanya mahu dikenali sebagai Ajib, 43, berkata, terdapat majlis perkahwinan diadakan di lokasi atau tempat terbuka seperti di pekarangan masjid.
Katanya, lokasi seperti itu membolehkan sesiapa sahaja menghadiri dan menikmati makanan menyebabkan makanan disediakan tidak mencukupi.
“Tempah 1,000 orang makan, tetapi tidak dijemput pun datang makan. Biasanya pihak katering akan sediakan lebih sedikit makanan, tetapi jika sudah terlebih dan terlalu ramai memang tidak cukup, maka kami pula dituduh menipu.
“Pihak katering tidak akan sesekali menipu kerana kami tahu perbuatan itu akan merosakkan perniagaan kami. Tentunya pihak katering akan berusaha memberi perkhidmatan terbaik,” ujarnya.
Selain itu, katanya, ada juga kes pengusaha katering dituduh menipu kerana enggan memulangkan wang deposit apabila penganjur membatalkan majlis apabila tarikh hampir tiba.
“Wang deposit telah digunakan untuk membeli barang mentah. Kena tempah awal dengan pembekal sebab bimbang barang susah dapat,” jelasnya.
Menurut beliau, jika berlaku sebarang penipuan, ia sebenarnya melibatkan scammer yang menyamar sebagai pengusaha katering untuk memperdayakan orang ramai.
Katanya, scammer akan memaklumkan di media sosial konon menyediakan perkhidmatan katering pada harga lebih rendah berbanding pengusaha katering lain.
“Mereka beri harga tidak masuk akal dan orang ramai yang terpedaya bersetuju. Selepas wang deposit diserahkan mereka hilang. Jadi berhati-hatilah,” katanya.
BACA JUGA :
Kecoh minum di kelab malam, Aliff Aziz buat perangai lagi?
Wanita akhirnya kantoi elak bayar tol 45 kali, “pakai Mercedes mahal dah”