Riena Diana tak jadi kahwin, putus cinta tengah jalan. Selepas empat tahun menyulam cinta, hubungan istimewa pelakon Riena Diana dan kekasihnya, Nik Afiq kini terlerai di tengah jalan.
Pendedahan tersebut sekali gus meranapkan perancangan pelakon yang terkenal dengan watak Lailaer Kampung People itu menamatkan zaman bujang pada tahun depan.
Menurut Riena atau nama lengkapnya Nur Qamarina Diana Zulreal hubungannya dengan Afiq putus sejak hampir seminggu lalu.
“Ya, kami sudah berpisah. Mungkin ini adalah jalan yang terbaik untuk kami berdua,” katanya.
Riena yang popular dengan watak gila-gila itu bagaimanapun enggan memberikan perincian tentang punca kehancuran hubungan dengan teman lelaki. Pelakon berusia 25 tahun itu sebaliknya memilih membiarkan perkara tersebut menjadi rahsia mereka berdua.
“Minta maaf saya tidak dapat kongsikan punca perpisahan ini. Biarlah perkara ini kekal menjadi rahsia kami sahaja. Lagi pun kami berpisah secara baik,” katanya.
Bekas penyampai radio Hot FM itu menambah dia reda atas apa yang terjadi, namun tidak menolak jika jodohnya ditetapkan dengan lelaki yang sama pada masa akan datang.
“Seandainya ada jodoh antara kami berdua, saya tidak menolak. Lagi pun kami telah lama kenal. Hubungan saya dan keluarganya juga masih baik,” ujar Riena.
Sementara itu, menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya, Riena secara terbuka memberi tahu status dirinya kini telah pun kembali solo.
Bahkan pelakon itu memberitahu dia hanya mahu tenangkan fikiran dan memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.
“Solo dan tidak bersedia untuk sebarang perhubungan. Sekarang saya mahu perbaiki diri sendiri dan berubah ke arah yang lebih baik.
“Harap semua pihak faham dan marilah kita meneruskan kehidupan,” tulisnya.
Sebelum ini Kosmo! dalam satu temu bual bersama Riena memaklumkan wanita itu bercadang untuk menamatkan zaman bujangnya padas usia 26 tahun pada 2023.
Riena Diana dan Nik Afiq mula berkenalan sejak 2018 dan menjalin hubungan cinta beberapa bulan selepas berkenalan.
Menurut Riena, detik perkenalan dengan lelaki itu berputik selepas berkunjung ke sebuah pusat peranginan yang diusahakan Nik Afiq di Janda Baik, Pahang.