Wafariena buat laporan polis dedah kena fitnah dengan Pengarah. Pelakon Wafariena Roslan, 28, membuat laporan polis terhadap pengarah drama Mata Tak Berhijab, Khairi Azmi di Balai Polis Kundang, Selangor pada 26 Oktober lalu.
Ibu Wafariena, Suzana Hamad berkata, laporan polis terhadap pengarah kerana memfitnah dengan mendakwa Wafariena rela melakukan aksi lagak ngeri sehingga menyebabkan mengalami kecederaan serius.
Katanya, dia dan Wafariena sudah bertemu dan berbincang bersama Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim berhubung isu itu.
“Kami berjumpa secara bersemuka dengan Ahmad Ibrahim dan berbincang mengenai hal ini. Kami juga sudah memaklumkan apa yang dinyatakan pengarah bukan perkara sebenar.
“Wafariena tidak beraksi secara rela untuk babak berkenaan kerana agak bahaya melakukan aksi lagak ngeri tanpa pengetahuan,” katanya kepada BH Online.
Suzana berkata, dia juga sedang berbincang dengan peguam mengenai tindakan yang bakal diambil.
“Laporan polis dibuat ke atas pengarah drama. Sehingga hari ini, pengarah langsung tidak meminta maaf, biarpun tindakannya menyebabkan Wafariena mengalami kecederaan serius akibat dipaksa melakukan aksi lagak ngeri.
“Pengarah langsung tidak menghubungi kami. Saya memang terkilan, pengarah tetap meminta Wafariena melakukan aksi lagak ngeri biarpun sudah nampak keadaan anak saya lemah.
“Selepas apa yang berlaku, Wafariena hanya berehat dalam kereta sementara menunggu hari siang untuk dibawa ke klinik. Namun, pengarah langsung tidak bertanyakan keadaan anak saya,” katanya.
Suzana berkata, tindakan hanya diambil ke atas pengarah, manakala dia akan mengatur pertemuan dengan penerbit, bulan ini.
“Kami akan berjumpa penerbit, bulan ini tetapi tarikh belum ditetapkan memandangkan penerbit agak sibuk.
“Penerbit masih belum melangsaikan bayaran akhir untuk supertele, mahupun bil rawatan hospital.
“Jadi, penerbit minta saya beri masa sehingga bulan ini untuk bertemu dan berbincang mengenai perkara itu,” katanya.
Ditanya perkembangan Wafariena, Suzana berkata, anaknya sudah semakin sihat, namun bahagian perut masih sakit apabila batuk atau bersin.
“Wafariena sudah mula menerima tawaran lakonan, tetapi hanya membabitkan watak ringan.
“Buat masa ini, Wafariena masih belum menerima watak berat kerana saya ingin pastikan anak sihat sepenuhnya sebelum terima watak berat,” katanya.
Terdahulu, Wafariena mendakwa dipaksa 12 kali lakukan babak tercampak untuk supertele Mata Tak Berhijab.
Kejadian berlaku pada 8 Oktober lalu, jam 3 pagi di kawasan hutan di Lenggong, Perak ketika Wafariena melakonkan aksi ‘ditarik’ untuk menampakkan dirinya seolah-olah melambung.
Ekoran kecederaan dialami, Wafariena dimasukkan di sebuah hospital di Rawang dan dikehendaki menjalani fisioterapi sebanyak tiga kali seminggu sehinggalah keadaannya sembuh.
BACA:
DSV bawa bunga emas bernilai RM500K ganti beg tangan
Tayar lori tercabut hentak bumbung Perodua Aruz sampai berlubang
Kucing ni dah macam manusia suka mandi hari-hari, “satu dalam sejuta macam ni”