Usia baru 22 tahun dah beli BMW Cash

Oleh INFORAKYAT

Usia baru 22 tahun dah beli BMW Cash. Usianya baru 22 tahun, namun pemuda ini sudah mampu membeli kereta daripada jenama mewah, BMW untuk kegunaan sendiri.

Meskipun kenderaan terpakai, Noor Alif Hazrin Mohd Radzi, 22, berbangga dapat membelinya secara tunai pada harga lebih RM90,000 dengan hasil titik peluhnya menjual produk sendiri dan menjadi ejen dropship sejak berusia 18 tahun.

Pemuda berasal dari Sungai Petani, Kedah itu turut membeli secara tunai kenderaan terpakai jenama mewah seperti Toyota Alphard (RM60,000), selain Honda Civic (RM50,000) dan jenama tempatan, Proton Satria Neo (RM20,000).

“Pada 2021 ketika umur saya 21 tahun, saya ada beli kereta Proton Waja tetapi sudah menjualnya dan pada tahun sama, saya beli pula Toyota Alphard sebab lebih besar serta memudahkan untuk saya ambil stok (barang jualan).

“Kemudian, saya beli lagi Proton Satria Neo dan penghujung tahun lalu, beli pula Honda. Pada Mac lalu baru saya beli BMW ini,” katanya.

Usia baru 22 tahun dah beli BMW Cash

Menurutnya, dia membeli semua kenderaan itu secara tunai kerana berpegang kepada pesanan arwah ibunya yang tidak menggalakkan dia berhutang selagi masih belum habis belajar.

“Lagipun saya tiada kerja tetap lagi ketika itu, jadi sebab itu saya tak beli kereta baharu yang memerlukan saya buat pinjaman bank.

“Ramai kecam, ada kata saya tak kena kejar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)… tapi mereka tidak tahu cerita sebenar, sedangkan harga kereta yang dibeli itu boleh buat separuh deposit kereta baharu,” katanya.

Menurutnya juga, dia sudah mewakafkan Toyota Alphard sebelum ibunya meninggal dunia pada Julai lalu, kepada sebuah masjid di Kuala Selangor untuk dijadikan kenderaan jenazah.

“Saya ambil keputusan untuk wakafkan kenderaan itu sebagai saham akhirat saya dan arwah ibu, memandangkan tiada yang menggunakannya,” katanya yang turut menjual semula Proton Satria Neo.

Noor Alif Hazrin yang mengeluarkan produk sendiri pada Jun lalu berkongsi kisahnya di aplikasi TikTok baru-baru ini sebelum ia tular.

“Perkongsian itu bukan nak buktikan apa-apa (atau menunjuk), sebaliknya saya nak berkongsi perjalanan kehidupan saya dari umur 18 tahun hingga sekarang, selain untuk kenangan.

“Nanti bila-bila boleh tengok semula terutama ketika saya mula berhijrah ke Kuala Lumpur waktu sambung belajar dulu dengan segala-galanya perlu tanggung sendiri.

“Pemergian mak meninggalkan impak besar dalam hidup saya. Selama ini saya tak kongsi kesusahan, tetapi baru ini kongsi apa saya sudah buat untuk mak. Alhamdulillah, saya sempat membahagiakan mak saya walaupun tak lama,” katanya.

BACA:

Lelaki dari neraka – Rogol ibu dan adik kandung sendiri

Tarikh bantuan khas untuk orang kerja kerajaan diumum

Tokti berjaya beli rumah di Dubai, kaya betul kalau macam ni punya harga