Ucapan serius ramalan Jokowi ekonomi bakal gelap 2023 jadi tular. Baru-baru ini tular di media sosial mengenai ucapan Presiden Indonesia Joko Widodo yang menekankan keadaan ekonomi pada zaman yang kian memuncak sehingga menimbulkan kerisauan orang ramai.
Imbas kembali laporan Kompas.com, Joko Widodo atau dipanggil Jokowi dalam video itu menerangkan mengenai keadaan ekonomi pada 2023 dan beliau menjangkakan tahun depan akan lebih sukar berbanding tahun ini.
Beliau berkata demikian selepas peroleh maklumat ringkas ketika bertemu beberapa pemimpin tertinggi seperti Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, ketua institusi antarabangsa dan semua ketua negara G7.
“Sekarang ini memang dunia berada pada posisi yang tidak mudah, pada keadaan yang sangat sulit sekali..tahun ini kita akan sulit, terus kemudian seperti apa?
“Pemimpin dunia itu berkata tahun ini kita melalui masa yang sukar, jadi bagaimana tahun depan?
“Tahun depan keadaan ekonomi akan gelap, ini bukan mengenai Indonesia…tetapi mengenai dunia!” katanya semasa pembukaan Himpunan Nasional Persatuan Pensiunan Angkatan Darat Indonesia (PPAD) di Indonesia pada Ogos lepas.
Difahamkan, sebanyak 66 negara yang didakwa akan mengalami kejatuhan ekonomi seperti yang dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PBB, Guterres dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semasa perjumpaan itu.
Kejatuhan bukan drastik, tetapi beransur-ansur
Ujarnya, kejatuhan ekonomi negara di dunia tidak berlaku dalam tempoh drastik, tetapi secara beransur-ansur malah sehingga kini ratusan juta penduduk dunia dipercayai sedang kelaparan.
“Mereka memberi butiran secara terperinci mengenai masalah yang membimbangkan dan kini seramai 320 juta orang di dunia sudah menghadapi inflasi kekurangan makanan,” katanya dalam persidangan itu, memetik Kompas.com.
Tambah laporan lagi, beliau memaklumkan perkara itu ekoran telah berlaku kejatuhan dari semua aspek, manakala inflasi pula menunjukkan peningkatan.
“Saya sampaikan ini kerana kedudukan pertumbuhan ekonomi bukan sahaja turun malah semuanya jatuh.
“Pertumbuhan ekonomi turun tetapi inflasi meningkat dan harga barang semakin meningkat. Dunia dalam keadaan teruk,” katanya dalam nada kerisauan.
Petikan penuh ucapan Jokowi boleh dirujuk menerusi video laporan berita Tribun News seperti berikut pada durasi ke 1:50.
BACA:
Siapa sangka Honda Ex-5 kini cecah nilai RM12,000
Ulama kanan Arab Saudi kata cabaran Tiktok itu berjudi
Pakar bagi amaran jangan benarkan towing kereta macam ni, jahanam gearbox!