Sultan Selangor dukacita dengan komen netizen

Oleh INFORAKYAT

Sultan Selangor dukacita dengan komen netizen. Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menzahirkan rasa kecewa baginda apabila membaca komen-komen keterlaluan dalam kalangan netizen di media sosial, yang mengeluarkan ayat-ayat berunsur fitnah, cacian dan hasad dengki.

Sultan Sharafuddin bertitah lebih mengecewakan apabila ayat-ayat penghinaan itu pula disokong oleh netizen yang lain tanpa usul periksa dan jika tidak dibendung dan ditangani dengan bijak dari semasa ke semasa, ia dikhuatiri akan merosakkan pemikiran masyarakat khususnya generasi muda.

“Sejak kebelakangan ini, kemunculan gejala fitnah-fitnah dan berita-berita palsu yang semakin berleluasa telah menyebabkan ketegangan di antara kumpulan-kumpulan tertentu dalam masyarakat kita.

“Beta tidak mahu gejala-gejala seumpama ini terus menular sehingga boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan kekuatan perpaduan untuk jangka masa panjang,” titah baginda ketika majlis pelancaran Masjid Diraja Masjid Raja Lumu di sini hari ini.

Sultan Selangor turut menekankan perpaduan dalam kalangan orang Melayu amat penting dan perlu dipelihara demi masa depan generasi yang akan datang kerana umat yang berpecah akan membawa kehancuran kepada negara.

Sultan Selangor dukacita dengan komen netizen

Justeru, Sultan Selangor dalam titahnya menyeru seluruh orang Melayu untuk terus merapatkan saf, bersatu-padu, melupakan segala sengketa dan perselisihan faham serta mula memikirkan untuk bangkit semula menjadi satu bangsa yang kuat, bermaruah dan bermatlamat, demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Beta mahu semua rakyat beta dapat hidup di negeri beta dalam keadaan selesa, bersatu-padu, harmoni dan menikmati kekayaan negeri ini secara adil dan saksama,” titah baginda.

Mengenai pelancaran Masjid Diraja Masjid Raja Lumu, Sultan Selangor bertitah baginda menamakan masjid itu bersempena dengan nama Raja Lumu yang juga merupakan Sultan Selangor yang pertama, dikenali sebagai Sultan Salehuddin Shah yang memerintah dari 1766 sehingga 1782.

“Ini sangat bertepatan kerana mengikut catatan sejarah, Raja Lumu telah ditabalkan sebagai Sultan Selangor di Kuala Selangor dan bersemayam di atas Bukit Malawati yang dahulunya dikenali sebagai Bukit Selangor,” titah baginda.

Baginda berharap dengan adanya masjid baharu yang dilengkapi seni bina yang menarik itu, ia mampu menjadi antara daya tarikan utama khususnya penduduk di kariah berkenaan untuk beribadah, dan juga kepada pelancong dalam dan luar negara untuk datang ke Kuala Selangor.

BACA:

Rumah Banglo RM7 Juta milik lelaki ini ambil masa 7 tahun siap, penuh dengan doodle

Tya Arifin kena kecam buat ‘aksi panas’ atas katil, “siap baring tu..”

Baby Shima bengang artis lain tayang dada, seluar dalam kena puji