‘Shafee jadi punca Najib dipenjara’ – Zaid Ibrahim. Perang mulut berterusan antara dua peguam kanan yang pernah mewakili Datuk Seri Najib Razak setelah bekas Perdana Menteri itu dipenjara setelah sabit kesalahan berkaitan dana SRC International Sdn Bhd.
Hari ini, peguam kanan Datuk Zaid Ibrahim membalas serangan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dengan menyalahkan peguam utama itu sehingga menyebabkan bekas Presiden UMNO dipenjarakan.
Bekas menteri undang-undang itu berkata Shafee – yang mengetuai pasukan pembelaan Najib dalam kes SRC International – adalah seorang ‘pemain’ tetapi bukan seorang peguam yang baik.
Ketika mengemukakan semakan Najib terhadap sabitan dan hukumannya di Mahkamah Persekutuan semalam, Shafee berkata firma Zaid, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (Zist), tidak mempunyai apa yang diperlukan untuk mewakili kes besar itu, menyebabkan Najib dipenjarakan di Penjara Kajang.
Sambil menyifatkan hubungannya dengan Zist sebagai sengit, Shafee berkata firma itu gagal memberitahu Najib perkara sebenar dengan bertindak dalam “keyakinan buta” bahawa mahkamah akan memberi mereka penangguhan kes.
Zaid turut menjelaskan bagaimana dia terlibat dengan kes itu.
“Terdapat keputusasaan dalam kem Najib apabila kalah banyak permohonan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Mereka meminta pandangan kami, dan saya berkata ketidakcekapan Shafee yang menyebabkannya.
“Jika anda mahu cara berbeza pada peringkat terakhir iaitu di Mahkamah Persekutuan, anda perlu menukar Shafee,” katanya sambil menambah Najib bersetuju dengan cadangannya.
Zaid menjelaskan bahawa pendekatan Shafee ialah menimbulkan alasan sepanjang perbicaraan.
“Suatu hari dia (Shafee) berkata ia adalah konspirasi politik di sebalik semua pertuduhan dan kemudian dia menyerang hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali tanpa bukti. Pendekatan Shafee telah mengecewakan Najib. Ia adalah pokok masalah.
“Saya mencadangkan kepada Najib supaya menukar peguamnya dan fokus kepada satu isu untuk pembelaannya. Saya beritahu dia (Najib) menyerang kecekapan atau integriti Nazlan adalah bodoh,” katanya menurut NST.
Zaid berkata beliau memberitahu Najib tidak perlu mencari Peguam Diraja Britain kerana peguam terbaik untuk kes jenis ini adalah dari India, kerana persamaan dalam sistem kehakiman.
“Jadi, kami bawa mereka berjumpa Najib dan dia yakin dengan pendekatan kami dan memutuskan untuk meninggalkan Shafee.
“Shafee berang dan enggan menyerahkan fail kes sehingga kami meminta Najib menulis surat untuk menamatkan perkhidmatannya.
“Saya tidak bertanggungjawab langsung terhadap perubahan fikiran anak guam saya. Ia adalah keputusan kolektif,” katanya dalam hantaran video di Facebooknya hari ini (19 Januari 2023).
Pada 26 Julai tahun lepas, Najib menggantikan peguam lamanya (Shafee) dengan Zist untuk mengendalikan rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.
Zaid berkata firmanya tidak boleh dipersalahkan atas pemenjaraan Najib kerana mereka telah melakukan kerja yang baik cuba membentuk semula pendekatan Najib.
“Kami berharap mahkamah memberi penangguhan untuk memberi kami masa membaca kes itu. Tetapi kami gagal dan perkhidmatan kami ditamatkan,”
Najib, 70, didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa berhubung pinjaman RM4 bilion yang diberikan oleh Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC antara Ogos 2011 dan Mac 2012.
Dia juga disabitkan atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015, dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi.
Hukuman penjara dan denda itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021, dan selanjutnya disahkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lepas.
BACA:
Lizzy dedah sesuatu pasal suaminya yang buat ramai geram, “ada perempuan mesej pukul 3 pagi..”
“Takut nanti awak yang lunyai..”, jawapan padu Sharnaaz Ahmad buat ramai yang setuju