Pesilat Kristian beri sebab kenapa pakai tudung. Pesilat negara, Merrywati Manuil menjawab persoalan ramai pihak mengapa memakai tudung pada penampilannya di Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 dekat Ayer Keroh bulan lalu sedangkan dirinya adalah beragama Kristian.
Merrywati yang memenangi pingat emas pada kejohanan itu bagi Kategori Solo Kreatif Wanita sekali gus memegang status juara dunia menjelaskan tindakannya itu adalah bagi menghormati seni silat warisan orang Melayu.
“Banyak yang tertanya kenapa saya pakai tudung walaupun saya Kristian. Silat adalah warisan orang-orang Melayu. Saya sebagai orang bukan Melayu sangat menghormati, mengagumi dan mencintai silat.
“Walaupun tidak diwajibkan untuk memakai tudung tetapi saya lebih memilih untuk memakai tudung ketika pertandingan. Tudung bukan sahaja wajib untuk menutup aurat bagi wanita Melayu tetapi bagi saya untuk nampak lebih sopan, kemas dan beradab semasa pertandingan,” katanya menerusi status media sosial miliknya.
Jelas pesilat berasal dari Sabah itu, tiada sebarang paksaan daripada mana-mana pihak yang meminta dirinya untuk memakai tudung.
“Semestinya tiada paksaan dari mana-mana pihak. Saya belajar ilmu orang Melayu sudah tentu saya mengikuti dan melakukan apa yang saya pelajari.
“Semoga persoalan berkaitan memakai tudung ini terjawab. Aihh jangan serius bah kita kita juga baini. Kalau orang Melayu ada Mat Kilau, saya orang Murut ada Aki Antanom,” katanya merujuk kepada wira tempatan itu yang memimpin orang Murut untuk menentang Syarikat Borneo Utara British (SBUB) satu ketika dahulu.
Merrywati adalah antara penyumbang tujuh emas skuad silat negara di kejohanan itu sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).
BACA:
Mizz Nina keluar kenyataan terbaru tentang hidupnya sekarang tanpa Noh
‘Dah bebas kanser, tudung pun terbang’
Peserta Dewi Remaja kena kutuk kaw-kaw, “muka macam lelaki pun ada..”