Peminat World Cup Qatar kena ‘scam’, bayar mahal tapi macam tempat buang sampah. Sebuah perkampungan peminat rasmi yang sepatutnya menempatkan 60,000 peminat bola sepak di Qatar dilaporkan hanya indah khabar dari rupa.
Menurut portal metro.co.uk, kawasan penginapan Rawdat Al Jahhaniya, berhampiran stadium Ahmad bin Ali masih dipenuhi dengan mesin industri dan longgokan sampah serta kotak.
Ramai peminat meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial apabila tapak yang mengenakan harga sekitar 170 pound (RM918) semalam, yang dibuka pada Jumaat lalu bukanlah penginapan seperti yang mereka bayangkan.
Menurut portal penginapan Piala Dunia Qatar, kampung itu sepatutnya dilengkapi skrin pawagam dan gelanggang tenis namun peminat mengadu kemudahan tersebut tidak disediakan manakala pusat kecergasan yang dijanjikan sebenarnya hanya melibatkan beberapa peralatan senaman luar sahaja.
Milad Mahmooditar, 32, dari Teheran, berkata, kabin yang disediakan sebagai tempat penginapan itu terlalu sempit untuk memuatkan pengunjung yang berketinggian melebihi 1.70 meter seperti dirinya.
“Bilik air juga terlalu kecil sehingga anda sukar bergerak, jika tersilap anda mungkin terjatuh di atas meja kecil atau tertendang katil.
“Unit penghawa dinginnya pula terpaksa meredah haba yang tinggi di dalam kabin ini dan mengeluarkan bising sehinggakan anda tidak boleh tidur,” jelasnya.
Tempat penginapan agak sukar diperoleh sepanjang kejohanan Piala Dunia, dengan hanya 130,000 bilik diperuntukkan kepada hampir 1.5 juta pelawat yang membanjiri negara kecil Teluk itu.