“Kita masih di hadapan” – Hadi Awang

Kita masih di hadapan Hadi Awang

“Kita masih di hadapan” – Hadi Awang. Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi Twitter hari ini meminta supaya penyokong parti itu untuk kekal tenang kerana pimpinan parti sedang mengusahakan sesuatu.

Abdul Hadi juga berkata, pihaknya masih di hadapan ketika ini dalam usaha untuk membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Mereka merancang. Allah merancang. Kita di pihak yang benar. Insya-Allah kita terpelihara, negara terpelihara,” katanya menerusi Twitter, dan mengakhiri kenyataan itu dengan menulis ‘Abdul Hadi Awang, Putrajaya’.

Ciapan beliau itu mungkin merujuk kepada usaha pemilihan PM10 yang mana dilaporkan ketika ini Pakatan Harapan (PH) dijangka membentuk Kerajaan Perpaduan dengan sokongan Barisan Nasional (BN).

"Kita masih di hadapan" - Hadi Awang

Malaysia kini berdepan situasi Parlimen tergantung selepas tiada mana-mana parti yang berjaya memperoleh sekurang-kurangnya majoriti mudah 112 daripada 222 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan selepas PRU15.

Dalam PRU15, PAS menang 49 kerusi Parlimen, tertinggi bagi mana-mana parti tunggal sekali gus membolehkan gabungan disertainya Perikatan Nasional (PN) meraih 73 kerusi.

Pakatan Harapan pula menang 82 kerusi sekali gus menjadi gabungan yang mendapat kerusi tertinggi.

Bagaimanapun, jumlah kerusi PH berkenaan belum mencukupi untuk majoriti mudah 112 kerusi sekali gus dapat membentuk kerajaan.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula berjaya meraih 23 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri itu, manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang di enam kerusi Parlimen di Sabah, selain Parti Warisan (WARISAN) dengan tiga kerusi Parlimen.

Sesi rundingan antara semua gabungan utama berkenaan sejak Ahad lalu masih gagal memutuskan seorang Ahli Dewan Rakyat yang memiliki sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, sekali gus menyebabkan kemelut pembentukan kerajaan berlarutan sehingga memasuki hari kelima pasca PRU15.

Hari ini, Istana Negara menganjurkan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong mendapatkan pandangan mengenai pelantikan Perdana Menteri Ke-10 dan pembentukan kerajaan.

Bagaimanapun, perkembangan terbaru menunjukkan PH mungkin bergabung dengan BN yang menang 30 kerusi untuk membentuk Kerajaan Perpaduan selaras yang disarankan Yang di-Pertuan Agong.

Pada Selasa lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan beliau menolak saranan Agong supaya gabungan itu membentuk Kerajaan Perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin berkata, beliau memaklumkan tidak dapat bekerjasama dengan PH kerana perkara itu sudah jadi prinsip gabungan terbabit sejak dulu.

Muhyiddin berkata, beliau diminta menandatangani satu dokumen berhubung cadangan itu, namun beliau menulis nota menyatakan tidak bersetuju terhadap cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan antara PN dan PH.

“Tuanku mencadangkan supaya kita (PN) bekerjasama dengan PH untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, tetapi kami telah bincang perkara itu sejak awal lagi kami tidak akan bekerjasama dengan PH,” katanya.

Sementara itu, malam tadi UMNO memuktamadkan keputusan menyokong untuk menyertai Kerajaan Perpaduan seperti dizahirkan Agong, tetapi bukan yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Ibu Pejabatnya malam tadi.

Beliau berkata, MKT turut mengambil maklum dan memperhalusi setiap butiran kedua-dua perbincangan dijalankan Jawatankuasa Perundingan Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) dan PN.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pontian itu menerusi kenyataan media tidak mendedahkan perincian berhubung perbincangan bersama kedua-dua gabungan berkenaan, mahupun menyatakan secara jelas sama ada menyokong PH bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.

BACA:

Dakwaan PN tawar Hisham jawatan PM untuk tarik Umno, ini jawapan tuan badan

Mas Khan akui jarang solat, sekali PU Syed bagi ayat ni

Surat Zahid letak jawatan tular

CATEGORIES