Pemakaian keris bukan adat Melayu yang sebenar. Tidak lengkap berbusana seorang lelaki Melayu tanpa keris. Malah memetik kenyataan Sultan Hussein kepada Stamford Raffles dalam Hikayat Abdullah, “…inilah pusaka raja-raja Melayu yang tidak boleh tidak. Ada pun jikalau tiada bersenjata itu seperti orang yang tiada berkain rasanya,”
Kata-kata itu diucapkan apabila Raffles mahu mengharamkan keris susulan kekerapan pergaduhan antara pengikut Tengku Hussien dan Temenggong.
Pemakaian keris perlu lengkap dengan busana Melayu, dimulakan dengan tanjak yang boleh diibaratkan sebagai ‘mahkota Melayu’ dan perlu dijaga maruahnya.
Jujurnya, bagi orang lelaki Melayu keris bukan senjata bertempur sebaliknya ia adalah ikon ketinggian peradaban dan budaya Melayu. Sebilah keris menyingkap seribu rahsia empunya diri dan juga orang Melayu itu sendiri.
Malah dari sisi lain ia adalah lambang jati diri dan pakaian orang Melayu sejak ratusan tahun lalu. Hal ini dikongsikan Presiden Pertubuhan Pemedang Seni Sukma Kencana Malaysia, Muhammad Hanif Hosainel Majidi dalam Seminar Internasional Literatur Nusantara Ketiga yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim.
Kongsinya, keris bukanlah sekadar aksesori pakaian tetapi ia adalah sebahagian daripada busana Melayu yang lengkap. Justeru, pemakai keris seharusnya mereka yang beradab dan bertanggungjawab memikul amanah sebagai orang Melayu.
“Namun dalam keadaan tertentu yang mendesak, keris juga adalah senjata menjaga maruah diri.
“Sebenarnya tidak semua orang layak berkeris. Pada zaman dahulu, keris adalah anugerah atau pemberian daripada raja atau sultan kepada individu tertentu yang berjasa kepada kerajaan.
“Hanya pada zaman ini ia bersifat komersial dan mudah diperoleh,” katanya.
Disebabkan pemakaian keris itu bermula sebagai kurniaan dan anugerah sultan, ia dipakai penuh adab dan mempunyai falsafahnya tersendiri.
Malah tegas Muhammad Hanif, pemakai keris juga harus tahu apakah jenis keris yang sesuai dengan diri, asal-usul dan keturunannya. Keris tidak dipilih kerana kecantikan dan hiasan luaran atau corak pamor semata-mata.
“Selain itu satu hal yang penting, Keris Melayu mesti dipakai dengan busana Melayu. Elak pakai keris Jawa atau Bali dengan busana Melayu kerana ia tidak sesuai adat,” katanya.
Hal ini kata Muhammad Hanif disebabkan, Keris Jawa perlu dipakai dengan busana Jawa. Dalam adat Jawa, keris dipakai di belakang sebagai tanda hormat. Namun dalam budaya Melayu, keris mesti di hadapan sebagai isyarat pemakainya adalah orang yang beradab dan berbudaya. Bagi orang Melayu keris di belakang atau menyembunyikannya adalah tindakan tidak beradab atau berbaur pengkhianatan.
Umumnya keris Melayu dipakai dengan cara menyelitkannya di tengah badan dan sedikit ke kiri. Di sinilah kepentingan bengkung yang sesuai dipakai bersama samping.
“Bengkung dipakai di paras pusat dan bukan di paras pinggang seperti seluar. Ini adalah kerana bengkung bukan sahaja untuk mengikat samping, tetapi ia juga bertindak sebagai perisai di bahagian perut, ditambah pula dengan adanya pending yang diperbuat daripada logam seperti tembaga, perak dan emas.
“Kekemasan dan ketebalan bengkung serta kain samping dan pending dapat membantu mengurangkan kecederaan di bahagian perut akibat senjata tajam,” katanya.
Tegas Muhammad Hanif, keris dipakai dengan hulunya menghala ke hadapan dan bahagian ‘ekor cicak’ (hujung) menghala ke atas, iaitu sampir berada dalam keadaan terlentang.
Keris juga perlu dicondongkan ke kanan sedikit dan jangan dipakai dalam keadaan terlangkup, iaitu bahagian sampir yang panjang ke bawah. Ini bermakna ekor cicak menghala ke bawah dan hulunya menghala ke dalam.
“Gaya memakai keris terbalik ini sebenarnya adalah pengaruh daripada filem dan media sejak tahun 1950-an lagi.
“Malah dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan juga kita dapat lihat cara pakai dan pegang keris yang salah.
“Kaedah memakai keris seperti dalam filem itu sebenarnya adalah adat kaum Asli Laut Patalangan di dalam kerajaan Palalawan di Riau
“Mereka diadatkan oleh Sultan Palalawan untuk memakai keris terbalik kerana mereka masih belum memahami adab dan adat memakai keris,” katanya.
Tegas Muhammad Hanif, pemakaian keris perlu lengkap dengan busana Melayu. Ia dimulakan dengan tanjak atau pakaian hulu (kepala) bagi orang lelaki Melayu. Ia boleh diibaratkan sebagai ‘mahkota Melayu’ dan perlu dijaga maruahnya.
Tanjak katanya, perlu mempunyai simpul, tapak atau bengkung dan karangan (solekan). Namun tanjak juga adalah lambang status. Misalnya orang kebanyakan jika memakai tanjak tidak seharusnya mempunyai kerongsang atau jata kerajaan.
Pemakaian sebegitu katanya dikhaskan untuk sultan dan raja-raja Melayu. Jadi, sebaiknya pakailah tanjak kosong.
“Reka bentuk tanjak juga perlu diberi perhatian kerana tanjak yang masih dipakai oleh sultan atau raja tertentu tidak seharusnya dipakai oleh rakyat jelata, kecuali dengan titah diraja.
“Misalnya, bagi orang biasa tanjak dipakai dengan simpulan atau ikatannya berada di belakang atau di atas telinga kanan. Tanjak yang mempunyai simpulan di bahagian kiri adalah pakaian raja-raja.
“Tanjak yang dipakai dengan simpulnya di belakang kepada membawa maksud bahaya atau pemakainya dengan bersiap siaga. Pakaian sebegini hanya boleh dipakai ketika dalam peperangan atau jika nyawa seseorang itu diancam,” katanya.
Tegas Muhammad Hanif, tanjak mempunyai pelbagai solekan yang membawa erti serta maksud tertentu. Misalnya, tanjak yang dipakai ke majlis keramaian dan keraian tidak sesuai untuk dipakai ke majlis pengebumian.
Begitu juga ada tanjak yang tidak sesuai dipakai untuk menghadap raja atau pembesar malah ada tanjak khusus untuk turun bertempur atau berperang.
Malah tanjak biasanya dikarang daripada kain songket, kain tenun dan kain cindai atau sutera. Seperti keris, tanjak juga adalah petunjuk identiti dan keturunan seseorang.
“Sebab itu setiap kerajaan mempunyai karangan tanjak yang berbeza. Rekaan asas tanjak tersebut menunjukkan asal-usul tanjak itu.
“Misalnya solekan Lang Menyongsong Angin yang dipakai di Perak dikatakan berasal daripada kerajaan Melaka. Keluarga tengkolok Dendam Tak Sudah pula identiti masyarakat Minang dan mempunyai variasinya tersendiri. Getam Budu dan variasinya pula berasal daripada pantai timur semenanjung Tanah Melayu,” katanya.
Muhammad Hanif berkata pemakaian keris dan tanjak akan lebih kemas dengan penggunaan sikap atau baju hias. Namun pemakaian sikap ini mempunyai etikanya tersendiri. Misalnya, lengan baju sikap seharusnya berada pada paras pergelangan tangan pemakai atau ¾ lengan pemakai.
“Jadi, seharusnya, baju pesak yang dipakai di bawah sikap, mempunyai lengan pendek atau tidak berlengan supaya lengan baju itu tidak terjulur keluar melebihi lengan sikap atau baju hias.
“Pemakaian sikap bukanlah seperti pemakaian kot yang sememangnya memerlukan lengan baju melebihi lengan kot,” katanya.