Pelik pakcik ni bersungguh ajak cikgu tumpang motor, “rupanya baik ada makna”. REZEKI ada di mana-mana, begitu juga bantuan yang datang tanpa diduga.
Walaupun ada kejadian berlaku tanpa disangka-sangka, namun ia sebenarnya berlaku tepat pada masanya.
Begitulah perkongsian yang diceritakan oleh seorang pemuda di laman sosial.
“Pulang dari solat Jumaat tadi, aku berjalan kaki sebab sekolah dekat je dengan masjid.
“Sedang jalan tu ada pakcik sedang menunggang motor menghampiri lalu bertanya Cikgu mengajar kat sekolah depan tu ke?,” tulis Amirul Ruslam menerusi laman Twitter, pada Jumaat.
Dalam keadaan terpinga-pinga, guru berkenaan masih mampu tersenyum dengan mengiyakan pertanyaan pakcik berkenaan.
Pakcik itu kemudian membalas dengan menawarkan diri untuk menghantarnya ke sekolah dengan motosikal: “Meh la pakcik hantarkan.”
Menurut perkongsian itu lagi, guru berkenaan pada mulanya menolak pelawaan itu tetapi pakcik tersebut masih mahu menghantarnya.
“Dah diajak kali kedua, aku pun naiklah di belakang tempat duduk motor. Disebabkan aku pakai satu set berbusana Melayu, maka aku duduk mengereng ke tepi gaya-gaya makcik pergi surau bersama suaminya.
“Sampai sahaja di sekolah aku mengajar, ucapan terima kasih aku lafazkan,” tambahnya lagi.
Di sebalik dari bantuan itu, rupa-rupanya ada sesuatu yang mahu diluahkan oleh pakcik berkenaan yang selama ini rajin bersedekah.
“Pakcik tu pun membalas semula yang bagi aku agak kagum juga iaitu ‘Oh tak ada apa pun ni cikgu, hari ini pakcik lupa nak bawa duit nak sedekah kat masjid, jadi pakcik bersedekah dengan cara macam ni’.
“Dengan harapan sedekah pakcik hantar kamu ini diterima Allah SWT. Aku seperti wow dalam minda, tapi depan pakcik tu aku aksi tenang sahajalah,” ujarnya lagi.
Dia bersungguh juga cari ruang membuat kebaikan lain meskipun amal kebaikan yang biasakan dilakukannya tidak dapat dilaksanakan.
AMIRUL
Kata-kata pakcik tersebut masih terngiang-ngiang dalam fikiran guru itu sementara menunggu kelas seterusnya.
“Aku termenung kata-kata pakcik tadi. Nampak dia bersungguh juga cari ruang membuat kebaikan lain meskipun amal kebaikan yang biasakan dilakukannya tidak dapat dilaksanakan.
“Ibrahnya (pengajaran) kisah aku ini aku rasa sentiasalah cari ruang lakukan amal kebaikan lain walaupun hanya sedikit dek kerana kita kesempitan beberapa faktor,” katanya.
Ciapan pemuda di laman Twitter AmirulRuslam diulang kicau lebih 2,000 kali dan meraih pujian dalam kalangan netizen terhadap tindakan pakcik tersebut.
“Bersedekah ni sebenarnya pelbagai cara, bukan hanya wang ringgit.
“Dulu duduk kampung selalu ada yang begini. Marilah naik sekali… masa tu budak lagi.
“Betul, sedekah/kebaikan ni ada banyak cara. Walaupun tengah memandu, kita bagi laluan kat orang lain pun dah dikira. Yang penting niat tu betul,” demikian antara komen netizen.