MT Umno kecam Annuar Musa, “dia dah lama nak bakar rumah kita”. Pemimpin UMNO mendakwa keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memecat tiga pemimpin akar umbinya malam tadi, adalah usaha mengeluarkan pemimpin yang bertindak umpama ‘api dalam sekam’ dalam parti itu.
Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, berkata langkah itu diambil memandangkan pihak berkenaan didakwa mahu melihat supaya parti sendiri berada dalam keadaan merempat serta berpaut kepada parti seteru.
“Saya juga ada mimpi semalam. Saya mimpi dalam rumah kita ada api dalam sekam. Api itu mahu bakar rumah kita supaya kita merempat dan pergi menumpang rumah orang lain. Orang lain itu adalah tuan kepada api ini dan dia sudah lama mahu bakar rumah kita dan halau kita keluar dari rumah sendiri.
“Sebelum rumah kita terbakar, kita perlu keluarkan api dalam sekam ini. Baru rumah kita selamat dan keluarga kita bahagia. Semoga Allah SWT merahmati kita semua,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.
Beliau menjawab kenyataan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, yang mendakwa UMNO kini diibaratkan sebuah rumah pusaka, yang sedang terbakar hingga menyebabkan ramai penghuninya lari, tetapi mereka yang berusaha memadam kebakaran itu, ditarik keluar daripada api yang sedang memusnahkan itu.
Dalam mesyuarat MKT malam tadi, selain Annuar, dua lagi pemimpin akar umbi yang dipecat adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim.
Shamsiah dan Fatimah bulan lalu digantung sementara seluruh jawatan mereka atas dakwaan terbabit secara langsung atau tidak langsung, menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Shamsiah adalah isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim, yang memenangi Parlimen Arau dalam PRU15 atas tiket Perikatan Nasional (PN), selepas dia digugurkan oleh BN daripada mempertahankan kerusi terbabit.
Fatimah pula adalah isteri kepada Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, bekas wakil rakyat UMNO yang berpaling tadah dan turut bertanding atas tiket PN dalam PRU15.
Hal pemecatan itu dimaklumkan Ahli MKT, Datuk Mohd Puad Zarkashi ketika ditemui media di Menara Dato’ Onn di sini, selepas mesyuarat selesai
Mengulas lanjut, Isham menasihatkan Annuar supaya reda dengan segala ketetapan, merujuk keputusan yang diperoleh Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.
“Mungkin Tan Sri (Annuar) impikan nak jadi menteri lagi tapi tidak jadi dan tiada rezeki. Tidak mengapa, reda sahajalah ketentuan Allah SWT, Dia penentu segala. Kita hanya manusia yang berusaha, jika Allah tidak izin, maka adalah sebabnya.
“Menang itu penting, namun bagaimana kita menang itu lebih penting, jika sumber kemenangan itu tidak berkat, maka kifarah akan bersemuka,” katanya.
BACA:
Sedih dapat tahu kisah sedih pakcik ni, dah berbulan tidur di tangga KLCC
Cinta Gegar Vaganza: Fuad dan Tom akui rancang untuk nikah
Haram bagi ‘goodies’ berbeza untuk orang kaya dan miskin – UAI