Lumpuh badan, mekanik terlepas hukuman sebatan. Seorang mekanik yang lumpuh separuh badan dilepaskan daripada hukuman sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan memiliki syabu tiga tahun lalu.
Tertuduh, Ben Khaled Abd. Molok, 42, yang berkerusi roda sebelum ini diperintah hukuman tiga sebatan kerana memiliki 17.71 gram (g) methamphetamine oleh mahkamah sama pada 17 Ogos 2020.
Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan atas faktor kesihatan.
“Mahkamah menggunakan budi bicara Seksyen 291 Kanun Tatacara Jenayah untuk meminda hukuman itu.
“Saya remit (membatalkan) terus sebatan atas faktor kesihatan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail memohon pemindaan hukuman tiga sebatan yang dikenakan selepas doktor penjara memaklumkan bahawa tertuduh tidak sesuai untuk disebat.
Sementara itu, Peguam Hafizuddin Salehuddin yang mewakili Ben Khaled memberitahu, anak guamnya selesai menjalani penjara tiga tahun bermula tarikh tangkapan pada 12 Februari 2019.
“Beliau (anak guam) telah bebas sepenuhnya daripada kesalahan itu selepas mahkamah membatalkan hukuman sebatan dan sudah menjalani penjara tiga tahun.
“Selepas selesai dokumentasi di penjara nanti (Penjara Kajang), dia akan dibebaskan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Ben Khaled didakwa memiliki dadah methamphetamine seberat 17.71g di sebuah bengkel kereta di Taman Perindustrian Tago, Sri Damansara kira-kira pukul 4 petang, 12 Februari 2019.
Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan tidak lebih sembilan sebatan rotan.
Kelmarin, Mahkamah Rayuan Putrajaya melepas dan membebaskan tertuduh daripada hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 10.53g.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md. Said memutuskan sabitan mengedar dadah terhadap Ben Khaled tidak selamat.
Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah.
BACA:
Berdarah hidung tengok Nadia Brian pakai ‘rompers’ macam bayi, siap ada parti buih
Murid jatuh cinta dengan cikgu disiplin 20 tahun lebih tua, akhirnya ke jinjang pelamin