Kuasa pengampunan tidak wajar digunakan sewenangnya – Agong. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kuasa menghukum dan pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya.
Titah baginda, sekiranya undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil, ia bermakna penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda.
“Kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ianya bakal dipertanggungjawabkan kelak di hari kemudian.
“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil nescaya keadilan tidak akan tercapai, kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda,” titah baginda.
Prinsip keadilan menurut Islam, titah Al-Sultan Abdullah, adalah menjunjung amanah Tuhan dan bukannya mewakili kuasa Tuhan.
Berpandukan atas prinsip yang sama, Mahkamah Syariah juga, titah baginda, harus bijak menggunakan kuasa budi bicara dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dalam menjatuhkan hukuman terutama melibatkan kes kekeluargaan.
Titah Al-Sultan Abdullah lagi, akibatnya pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa.
“Maka titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman akan berlaku dalam sesuatu sistem pemerintahan.
“Justeru, Mahkamah Syariah hendaklah sebilang masa mempunyai kecekapan dalam mengendalikan kes-kes agar keadilan akan tercapai.
“Hakim-Hakim Syarie hendaklah memastikan kes-kes yang dikendalikan dapat dihakimi dengan seadil-adilnya dan penghakiman dapat dilaksanakan dengan segera,” titah Al-Sultan Abdullah lagi.
Terdahulu, baginda berkenan merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang, di sini, hari ini.
Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Kompleks yang siap dibina sepenuhnya pada 23 September 2021 itu menelan belanja kira-kira RM44.75 juta.
BACA:
10 pengunjung taman tema cedera parah, jatuh 50 meter ke bawah