Khabar angin Pan-gon kembali ke Korea Selatan bertiup kencang. Adakah skuad Harimau Malaya akan beraksi di kampung halaman Kim Pan-gon pada saingan Piala Asia tahun depan?
Itu antara gambaran kemungkinan Pan-gon akan pulang ke kampung halamannya jika Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memilih Korea Selatan sebagai tuan rumah Piala Asia itu pertengahan tahun depan.
Ia susulan pengumuman AFC hari ini yang mengesahkan hanya empat negara menghantar permohonan rasmi untuk membida hak sebagai tuan rumah selepas China menarik diri kerana peningkatan kes Covid-19.
Empat negara terbabit ialah Korea Selatan, Qatar, Australia dan Indonesia.
Berdasarkan kemudahan dan fasiliti yang terdapat di empat negara terbabit, Korea Selatan dan Qatar disebut-sebut sebagai calon terbaik untuk menganjurkan kejohanan itu.
Malah, jika dikecilkan lagi skop pemilihan, Korea Selatan dianggap pilihan utama kerana negara itu sudah lama tidak menganjurkan Piala Asia dengan kali terakhir diadakan di negara itu pada 1960.
Berbanding Qatar dan Australia, kedua-dua negara itu baharu saja menganjurkan Piala Asia masing-masing pada 2011 dan 2015, malah Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mewakili Asia Barat adalah tuan rumah edisi 2019 lalu.
Lantas, sudah tiba masanya kemungkinan saingan berprestij itu kembali ke Asia Timur dengan Korea Selatan dipilih kali ini.
Menurut kenyataan rasmi AFC, negara yang dipilih sebagai tuan rumah kejohanan membabitkan 24 pasukan itu akan diumumkan secara rasmi pada 17 Oktober ini oleh Jawatankuasa Eksekutif AFC.
Malaysia bakal membuat penampilan keempat di Piala Asia selepas muncul lima naib juara terbaik pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan lalu.
Kali pertama skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia adalah pada 1976 di Iran, sebelum sekali lagi layak secara merit di Kuwait pada 1980.
Pada 2017 pula, Malaysia layak atas tiket tuan rumah bersama tiga lagi negara Asean iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia.
BACA:
Pakar sahkan harga kereta akan mencanak naik, beli sekarang atau ‘never’
Tentera Darat Malaysia buka pengambilan besar-besaran, mohon sekarang