Banjir besar di Pakistan surut dalam tempoh 6 bulan lagi, ini keadaan sekarang. Pihak berkuasa Pakistan memberi amaran bahawa negara itu berkemungkinan mengambil masa enam bulan untuk pulih dari banjir, lapor CNN World.
Banjir yang paling teruk dalam sejarah negara itu mencetuskan kebimbangan kepada rakyat ekoran ancaman penyakit bawaan air seperti taun dan denggi.
Difahamkan, faktor hujan monsun dan pencairan air di kawasan pergunungan Utara Pakistan telah meragut lebih 1,400 nyawa dengan lebih 33 juta penduduk terjejas sehingga kini.
Banjir yang menghanyutkan pelbagai harta benda termasuk ternakan dan tanaman itu dianggarkan menelan kerugian sebanyak RM 45.27 bilion pada awalnya meningkat kepada RM133.8 bilion pada minggu lalu bersamaan tiga kali ganda.
“Karachi sedang mengalami wabak denggi di mana ribuan pesakit telah dimasukkan ke hospital kerajaan dan swasta setiap hari. Kes denggi tahun ini 50 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas.
“Dengan 584,246 orang di kem seluruh negara, krisis kesihatan boleh mendatangkan malapetaka sekiranya tidak dibendung,” kata Menteri Iklim Pakistan, Sherry Rehman pada Isnin.
Jelas Rehman lagi, dia turut memberikan amaran bahawa negara itu kini menghadapi masalah bekalan ubat-ubatan dan makanan yang besar berikutan 70 peratus tanaman ruji musnah seperti beras dan jagung.
Paras air banjir semakin meningkat terutamanya di kawasan yang teruk dilanda di sepanjang Sungai Indus di wilayah Sindh. Perkara itu diburukkan lagi dengan ramalan meteorologi yang meramalkan hujan berterusan hingga September.
Sementara itu, Ketua Menteri Sindh, Murad Ali Shah dalam satu kenyataan berkata, hujan monsun berterusan menyukarkan usaha untuk membersihkan air dengan anggaran tiga hingga enam bulan di beberapa kawasan yang paling teruk terjejas.
Beliau turut menambah bahawa tasik air tawar terbesar di negara itu, Manchar telah melimpah sejak awal September lalu dengan air banjir yang menjejaskan ratusan kampung serta lebih 100,000 orang.
“Kami sedang mempercepatkan bekalan perubatan kepada 81 daerah yang dilanda banjir di negara. Namun ia masih pada anggaran awal kerana maklumat terkini baru sahaja tiba,” kata Shah
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dan kerajaan Pakistan ‘menyalahkan’ perubahan iklim global dan cuaca ekstrem sehingga menenggelamkan satu pertiga tanah negara itu.
Dalam lawatan Guterres selama dua hari bertemu dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, beliau menyatakan solidariti yang mendalam kepada rakyat Pakistan atas kehilangan nyawa yang dahsyat akibat banjir tahun ini.
Tambahnya lagi, dia menyeru seluruh masyarakat global untuk membantu Pakistan yang teruk dilanda banjir.
“Pakistan tidak begitu tinggi dalam mendorong kepada perubahan iklim namun negara itu yang paling teruk terkesan dengannya,” kata Guterres sewaktu menghadiri satu taklimat di Pusat Penyelarasan Tindak Balas Banjir Kebangsaan (NFRCC) Pakistan pada Jumaat lalu.
BACA:
Ecurve kini jadi bangunan berhantu, dulu jadi tempat lepak paling best di KL
Usahawan kosmetik diculik sudah dibawa jauh ke Myanmar, kata polis Thailand
Remaja kena bayar RM679,460 kepada keluarga perogol selepas tikam perogol sampai mati