Akhirnya Jennifer Lopez dan Ben Affleck berkahwin. Bintang Hollywood sensasi, Jennifer Lopez (JLo), 53, dan Ben Affleck, 50, berkahwin di Las Vegas, Sabtu lalu, selepas kembali menjalinkan hubungan apabila 18 tahun berpisah.
Mengikut laporan portal TMZ, pengesahan perkahwinan diperoleh berdasarkan lesen perkahwinan pasangan berkenaan yang difailkan di Clark County, Nevada.
Mengukuhkan berita perkahwinan mengejut itu, JLo berkongsi gambar dan video perkahwinan di laman sesawang rasmi, OnTheJlo.
JLo berkongsi gambarnya menyarung gaun putih dan Affleck pula mengenakan tuksedo hitam.
“Kami lakukan akhirnya. Cinta itu indah. Cinta itu amat baik.
“Dan cinta juga akhirnya bertukar menjadi kesabaran. 20 tahun sabar menanti,” tulis JLo.
JLo berkata, apa yang terjadi menyatukan dua hati seperti diingini.
“Kami terbang ke Las Vegas untuk mendaftar perkahwinan. Kami beratur demi mendapatkan lesen perkahwinan dengan empat lagi pasangan lain.
“Kesemuanya dalam perjalanan sama untuk membina kebahagiaan dalam berumahtangga,” tulisnya lagi.
Pelantun lagu Marry Me itu menyifatkan perkahwinan itu adalah impian yang dihajati sejak sekian lama.
“Benar orang kata, apa yang diperlukan ialah semarak cinta untuk ke tahap ini. Kami bersyukur memiliki cinta yang banyak, lima anak dan kehidupan yang ingin dibina,” katanya JLo lagi.
Affleck kali pertama bertemu JLo ketika membintangi filem Gigli pada 2002. Mereka dikatakan terjebak dengan cinta lokasi ketika itu.
Malah, JLo dan Affleck dilaporkan bertunang pada tahun sama. Peminat menggelarkan mereka sebagai ‘Bennifer’ yang menggabungkan nama kedua bintang berkenaan.
Bagaimanapun, JLo dan Affleck yang menunda perkahwinan pada 2003, akhirnya bertindak memutuskan hubungan pada Januari 2004.
Tahun lalu, pasangan sensasi ini menghangatkan semula api cinta masa lalu apabila dilaporkan kembali menjalinkan hubungan selepas 17 tahun berpisah.
Selain dilihat sering mengunjungi kediaman JLo di Los Angeles, Affleck dan JLo bercuti bersama di Montana selama seminggu pada April, tahun lalu.
JLo pernah tiga kali mendirikan rumah tangga. Suami pertamanya, Ojani Noa, kemudiannya, penari latar, Cris Jud serta penyanyi, Marc Anthony. Beliau dikurniakan anak kembar bersama Anthony.
Affleck memiliki tiga cahaya mata menerusi perkahwinan bersama bekas isteri yang juga pelakon, Jennifer Garner. – AGENSI
BACA:
‘Tak makeup pun sebijik Lisa Surihani’ – muka wanita ini jadi bualan netizen
Doktor nasihat ibu bapa lebih waspada, Influenza A lebih bahaya dari Covid-19