Anak content creator Nengok TV jadi tular selepas lukisannya di lantai dapat jutaan penonton

Oleh INFORAKYAT

Anak content creator Nengok TV jadi tular selepas lukisannya di lantai dapat jutaan penonton. Kanak-kanak lelaki, Ahmad Akif Rayyan Harieyadi baru berusia tujuh tahun tetapi seni contengan atau ‘doodle’ dan hasil lukisannya tampak cantik seperti pelukis lebih berusia darinya.

Bakat Ahmad Akiff Rayyan atau lebih mesra disapa Rayyan itu mencuri perhatian warganet lebih-lebih lagi apabila dia melukis pada jubin lantai rumah dan topi keledar bapanya, Harieyadi Karmin, 36.

Aksinya melukis dirakam Harieyadi yang membuat perkongsian itu di aplikasi TikTok yang mendapat pelbagai reaksi positif warganet yang rata-ratanya memuji bakat Rayyan dan bapanya itu kerana reda topi keledarnya ‘diconteng’, semalam.

Berkongsi cerita, Harieyadi berkata, topi keledar itu digunakannya hampir setiap hari untuk pergi kerja, namun tidak kisah ia ‘diconteng’ Rayyan kerana menghargai bakat anak sulungnya itu.

Menurutnya, sebelum melukis pada jubin dan topi keledarnya, Rayyan sudah meminta izinnya terlebih dulu dan dia memberi keizinan kerana padanya permintaan anaknya itu tidak keterlaluan.

“Sebelum ini memang Rayyan melukis pada kertas A4 tetapi kebetulan pada hari itu kertas habis jadi dia minta izin melukis di lantai.

AHMAD Akif Rayyan bersama bapanya. FOTO Ihsan Harieyadi Karmin

“Ketika itu dia guna pen marker kekal untuk lukis haiwan seperti sotong, tikus, ketam dan jerung. Jenuh juga nak cuci dan setakat ini sudah empat kali kami cuci dan mop tetapi masih ada kesan.

“Kemudian Rayyan melukis tema haiwan pada topi keledar dia dan cakap cantik juga topi itu (selepas dilukis) sebelum dia minta izin untuk cuba lukis pada topi saya pula,” katanya yang tinggal di Telok Panglima Garang, di sini, ketika dihubungi.

Harieyadi berkata, Rayyan melukis doodle dan tema dinosaur pada topi keledarnya, menggunakan pen acrylic putih sekali gus menaikkan seri pada topi keledar itu yang berwarna hitam.

“Saya dan isteri (Indo Tuo Daeng Setuju, 33) tidak kisah Rayyan melukis di jubin dan topi keledar kerana pada kami ini salah satu proses perjalanan dan pembesarannya sebagai kanak-kanak.

“Saya sendiri tidak malu memakai topi keledar itu sebaliknya berasa bangga kerana ia hasil lukisan anak. Lagipun kami berdua berkongsi minat sama dengan dinosaur,” katanya yang berkerja sebagai penyunting video di sebuah syarikat swasta.

@hariey87 men”doodle” kali ni abg Rayyan. Dino Doodle. Lepas lantai, kini helmet kita plak. #fypシ #fyp #fypmalaysia🇲🇾 #familytime ♬ Dino Song – Mr. Popolo

Menurutnya, Rayyan sememangnya sangat minat melukis dengan mula ‘menconteng’ sejak berusia dua tahun dan setahun selepas itu melukis lukisan berbentuk dan seterusnya bertemakan anime.

“Rayyan lebih minat melukis haiwan dan ‘doodle’ tetapi setakat ini kami tidak pernah hantar dia ke kelas lukisan. Kami akan beli dua rim kertas A4 setiap bulan untuknya melukis,” katanya beritahu anaknya suka melihat orang melukis di Youtube.

Ahmad Akif Rayyan menunjukkan topi keledar hasil ‘contengan’. FOTO Ihsan Harieyadi Karmin

Berhubung video tular itu, Harieyadi berkata, dia juga tidak menyangka perkongsian itu mendapat perhatian ramai yang turut memuji bakat anaknya dan turut berterima kasih dengan sokongan ramai.

“Rayyan juga gembira dan baca sendiri komen itu. Kami berharap dengan perkongsian ini, ibu bapa lain dapat memberi peluang kepada anak untuk meneroka kelebihan mereka.

@hariey87 Replying to @🌻Jie_FA ♬ Santai – Faizal Tahir

“Jangan sekat bakat asalkan ia tidak melampaui kerana setiap anak ada kelebihan dan bakat masing-masing dan paling penting kita perlu pantau dan lorongkan ke arah yang betul.

“Kami selalu puji lukisan Rayyan kerana mahu menghargainya. Pada kami ini salah satu cara mendidik keyakinan dan kepercayaan diri sekali gus mengembangkan bakat Rayyan,” katanya.

Sementara itu, Rayyan berkata, dia melukis dinosaur pada topi keledar bapanya itu kerana bapanya juga minat haiwan itu selain mahu lelaki itu sentiasa berhati-hati ketika menunggang motosikal.

“Rayyan lukis untuk abi selalu ingat kami dan akan berhati-hati tunggang motosikal selain nak ‘helmet’ abi cantik macam Rayyan punya,” katanya mahu menjadi pelukis dan mempunyai galeri sendiri.

BACA:

‘Sedekah’ di luar musim buka sekolah dan waktu banjir

Paling kaya dunia: 15 rakyat Malaysia tersenarai dalam majalah popular Amerika Syarikat