Sharon Liew yang apikan perkauman di media sosial rupanya seorang lelaki melayu. Seorang lelaki yang menulis catatan berbaur perkauman di sebalik nama samaran ‘Sharon Liew’ dipenjara selama tiga minggu pada Selasa (8 Jun).
Zainal Abidin Shaiful Bahari, 35 tahun, mengaku bersalah atas dua tuduhan melakukan perbuatan yang dia tahu boleh menggugat keharmonian antara kumpulan kaum berbeza. Dua lagi tuduhan serupa juga dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.
Zainal Abidin Shaiful Bahari didakwa di mahkamah pada 2 Jul 2020 kerana mencetuskan ketegangan kaum secara online, menggunakan nama samaran “Sharon Liew”.
Para peguam Zainal mendakwa dia “bukan rasis” dan bahawa lelaki itu mengambil alih sebuah “akaun parodi” dan “melampaui batas” dalam “cuba menjadi kelakar”.
Hakim Daerah S Jennifer Marie berkata bahawa kaum dan agama adalah isu-isu sensitif dan orang yang mungkin melakukan kesalahan itu harus menyedari kenyataan yang dibuat secara cuai itu berpotensi mencetuskan gangguan sosial.
“Mentelah lagi, apabila kenyataan seumpama itu diterbitkan melalui wadah Internet, ia mempunyai jangkauan merata, justeru membesarkan lagi bahaya yang boleh berlaku dan tidak boleh ditarik balik ke atas kedamaian serta keharmonian kaum.”
Beliau menambah ketegangan kaum kian meningkat oleh pandemik yang berlarutan dan satu isyarat pencegahan yang kuat mesti dikeluarkan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Zainal adalah seorang pengarah kanan di sebuah syarikat perisian komputer. Seorang pengguna yang ternampak catatan Twitter oleh pengguna sharonliew86 yang mengutuk para pendatang asing India berkaitan dengan COVID-19, menghubungi polis pada April 2020.
Zainal dikenal pasti dan siasatan polis mendedahkan dia menubuhkan akaun Twitter itu pada Julai 2018 bersama dua lagi rakannya.
Ia bertujuan menjadi satu akaun parodi dan mempunyai lebih 5,000 pengikut tetapi catatan oleh kedua-dua rakan Zainal berhenti dimuatnaikkan sedari awal 2019.
Zainal kemudian mengambil alih akaun itu secara keseluruhannya. Pada April 2020, dia memuat naik catatan yang menyinggung perasaan termasuk penghinaan terhadap orang India. Pada Mac 2020, dia juga menulis bahawa wanita “Cina pintar” melakukan jarak sosial di dalam MRT dengan tidak mahu duduk di sebelah orang India.
Lelaki itu juga membuat catatan ofensif pada Oktober 2019 mengenai standard pendidikan kaum Melayu.
“Dia bukan seorang rasis, ternyata sekali,” kata Encik Sudheesan. Peguam itu dan rakan sekerjanya, Diana Ngiam, berkata Zainal mengahwini seorang wanita Cina dan mempunyai rakan-rakan dari pelbagai kaum.
Encik Sudheesan berkata semua orang yang mengikuti akaun tersebut tahu bahawa ia satu parodi dan keadaan boleh membangkitkan kemarahan apabila orang ramai tidak tahu niat di sebalik catatan Twitter tertentu yang dihantarkan kepada mereka.
Bagaimanapun, pendakwa menjawab bahawa Zainal telah melampaui batas.
Hakim memberitahu Zainal bahawa bahasa yang digunakan dalam catatan-catatan Twitter dia itu adalah kesat.
Bagi setiap tuduhan melakukan tindakan menggugat keharmonian kaum, Zainal boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
BACA JUGA :
Bung Mokhtar kena buang dari kabinet Hajiji