Kecoh novel lucah dibaca ramaja Malaysia, ini pesanan padu Ustazah Asma. MENJADI seorang penulis sememangnya bukan mudah.
Idea yang hendak diterjemahkan ke dalam penulisan bukanlah yang meluncur daripada kotak fikiran ataupun tangkap muat semata-mata.
Sebaliknya, penulis yang benar-benar mahu membina minda masyarakat, mereka terikat dengan etika dan adab.
Ini kerana penulisan dan karya yang dihasilkan bukan sahaja memberi impak kepada pembaca, malah ia sebenarnya saham yang akan terus mengalir di akhirat kelak.
Baru-baru ini, sebuah novel menjadi bualan hangat di media sosial gara-gara penulisnya menyelitkan unsur-unsur pedofilia dan seksual di dalam penulisan.
Novel karya seorang penulis wanita muda berusia 23 tahun itu difahamkan mengisahkan tentang percintaan seorang remaja lelaki berumur 19 tahun dengan gadis berusia 10 tahun.
Berdasarkan perkongsian paparan tangkap layar serba sedikit isi kandungan novel tersebut di media sosial, jelas sekali ia mengandungi unsur lucah yang mana mampu memberi pengaruh buruk kepada pembaca.
Bukan sahaja mendapat kritikan penulis yang lebih senior dan selebriti, isu berkenaan turut mendapat perhatian tokoh pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun.
Menerusi perkongsian di Facebook, Ustazah Asma’ menerangkan bahawa hukum menulis atau membaca sesuatu yang berunsur dan bertujuan lucah adalah haram dan berdosa besar.
Beliau turut menyelitkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Seseorang yang beriman itu bukanlah daripada golongan yang suka mengaibkan orang lain, bukan daripada golongan yang melaknat orang lain, bukan daripada golongan yang suka mencarut dan bukan juga daripada golongan yang suka berkata-kata keji dan buruk.” (HR Tirmizi, hadis sahih)
Tambah Ustazah Asma’, walaupun permintaan maaf sudah dilakukan oleh pihak yang berkaitan, namun ribuan naskhah terjual terutamanya dalam kalangan remaja.
“Saya terus terfikir bagaimana orang muda yang dah faham masih dikotorkan dengan imaginasi yang tak boleh dikawal, baik daripada pihak penulis yang merangka jalan cerita, pihak penyunting, penerbit yang bertanggungjawab menapis isi kandungan serta pembeli yang membaca keseluruhan penulisan tersebut.
“Pihak yang meletakkan keuntungan paling utama memang akan sanggup masukkan kandungan sebegini sebagai pelaris.
“Ternyata kandungan sebegitu paling banyak mendapat sambutan, bahkan lebih menyedihkan ada yang tahu jalan ceritanya tetapi terus didiamkan demi hawa nafsu yang sentiasa dahaga.
“Syabas dan terima kasih kepada yang lantang menyuarakan isu ini,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Apa yang lebih dibimbangkan, Ustazah Asma’ menekankan kesan serta pengaruh yang dibawa oleh novel sedemikian kepada akhlak serta pemikiran generasi akan datang.
“Mungkin bagi sesetengah peminat novel melihat teguran ini tidak relevan, kerana jalan cerita itu dianggap biasa supaya adanya plot klimaks dan anti-klimaks dalam sebuah penceritaan.
“Tapi cuba bayangkan bahan bacaan yang meloyakan itu menjadi fantasi anak-anak remaja sehingga menimbulkan rasa ingin mencuba dan akhirnya terjebak dengan zina. Na’uzubillah.
“Ini sebuah barah yang makin kronik dalam masyarakat, banyak lagi novel yang masih ada unsur lucah dijual di luar sana, peminat mereka juga ramai, seolahnya teruja apabila hasil karya dikenali tetapi kesannya langsung tidak diendahkan,” ujarnya.
Justeru, Ustazah Asma’ tampil menyeru semua pihak agar mengambil peranan bagi memastikan budaya mempromosikan maksiat secara terbuka akan dihentikan.
“Duhai ibu ayah dan penjaga, kita perlu tahu dan pantau tentang kewujudan bahan bacaan anak-anak.
“Novel-novel sebegini selalu menjadi kegemaran sebahagian anak-anak remaja, bimbang bermula dengan sekadar membaca, kemudian menjadi tindakan, ketagihan dan akhirnya jadi tabiat. Na’uzubillah.
“Bukan niat ingin membesar-besarkan, tetapi ini juga peringatan untuk diri saya sendiri yang mempunyai anak-anak remaja. Tersilap langkah kita, mereka boleh hanyut jauh daripada landasan agama.
“Kepada semua novelis dan rumah penerbitan, menulislah kerana Allah dan Rasulullah SAW, atas landasan dakwah dan patuh syariah. Pahala kepada tulisan ini akan terus berjalan walaupun kita sudah tiada nanti.
“Sama ada ia menjadi saham pahala yang berpanjangan atau dosa yang dicatat tak berkesudahan,” tulisnya.
Perkongsian Ustazah Asma’ meraih sehingga melebihi 780 share di Facebook.