Pemandu salahkan Tesla jadi punca kemalangan maut, ini yang berlaku

Oleh INFORAKYAT

Pemandu salahkan Tesla jadi punca kemalangan maut, ini yang berlaku. Dua orang maut dan tiga lagi cedera parah selepas pemandu Tesla Model Y didakwa hilang kawalan ke atas kereta EV itu di selatan China. CCTV yang berada di sepanjang 2 kilometer jalan raya itu telah merakam sepanjang kejadian yang berlaku.

Pada awal rakaman video yang tular di seluruh dunia ketika ini, pemandu Tesla sedang memberhentikan keretanya di tepi jalan. Bagaimanapun kereta itu memecut secara tiba-tiba bergerak di sepanjang jalan di Chaozhou, wilayah Guangdong.

Pemandu berusia 55 tahun itu yang juga bekas pemandu trak bernama Zhan, telah memecut pada kelajuan tertinggi apabila kereta itu merempuh penunggang basikal dan memandu ke arah sebuah lori penghantaran sebelum merempuh sebuah bangunan yang berada di tepi jalan.

Zhan memberitahu media tempatan bahawa dia cuba memperlahankan kenderaan di hadapan kedai keluarganya. Bagaimanapun, kenderaan itu didakwa terus memecut walaupun selepas dia memijak pedal brek.

“Saya dapat rasakan kereta itu tidak berfungsi lagi, jadi saya menekan butang parkir, tetapi ia mula memecut. Bagaimanapun, kereta itu memecut laju ke hadapan sambil saya mencuba menekan brek berulang kali.

Pemandu salahkan Tesla jadi punca kemalangan maut, ini yang berlaku

“Oleh kerana saya seorang pemandu lori, saya tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya brek saya gagal di kawasan cerun. Jadi selepas saya hilang kawalan ke atas kereta, saya segera mula mencari halangan untuk dilanggar,”

“Saya terus cuba menekan brek untuk melihat sama ada ia akan mula berfungsi dan memberhentikan kereta. Saya sedang memikirkan di mana hendak melanggar halangan, tetapi reaksi saya tidak dapat mengimbangi kelajuan pada ketika itu.” kata Zhan kepada Dahe Daily.

Menurut laporan portal dari China, seorang penunggang motosikal dan pelajar sekolah menengah maut dalam kejadian itu, manakala tiga lagi cedera parah. Manakala Zhan terselamat.

Detik-detik kereta Zhan terbabas merempuh kedai tepi jalan | Sumber Gambar: Douyin @QQPK360
Ahli keluarga Zhan menyalahkan nahas itu berlaku atas sebab kerosakan teknologi ‘AutoPilot Tesla’. Dia didakwa tidak dapat memperlahankan atau memberhentikan kenderaan secara manual. Menurut anak lelaki Zhan, kereta Tesla itu dibeli daripada rakan pada November 2021.

Bagaimanapun Tesla menafikan dakwaan tersebut. Tesla memberikan data yang menunjukkan bahawa pedal brek tidak digunakan semasa kereta memecut pada kelajuan tinggi, sambil menambah bahawa lampu brek kereta kekal padam dalam video.

“Throttle elektronik kenderaan itu tertekan 100 peratus untuk jangka masa yang lama pada satu masa. Tiada tindakan brek sepanjang proses itu. Tolong jangan dengar khabar angin, dan jangan sebarkan maklumat yang tidak disahkan,” terang Tesla dalam satu kenyataan.

Pakar keselamatan dilaporkan percaya bahawa pemandu mungkin tersilap tekan pedal brek sebagai pedal minyak.

Keadaan kereta Zhan melanggar seorang penunggang motosikal | Sumber Gambar: Douyin @QQPK360
Insiden itu masih dalam siasatan. Polis trafik menolak memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol selepas menjalankan ujian toksikologi ke atas Zhan. Bagaimanapun, pihak berkuasa masih menunggu penilaian bebas.

Tesla dilaporkan akan terus memberi kerjasama kepada polis tempatan, yang mungkin akan melibatkan penyiasatan daripada pihak ketiga.

Pada tahun 2019 pelopor syarikat pengeluar kereta EV itu pernah disaman setelah teknologi ‘Auto Pilot Tesla’ didakwa jadi punca kematian seorang jurutera Apple.

BACA:

Selepas tular, Peja akhirnya mengaku beli dua kapal layar

Ini sebab kucing peliharaan suka sangat ikut kita pergi tandas

Selepas 3 dekad, penyanyi lagenda Zaiton Sameon akhirnya dapat kad OKU