Ini 5 tips nak elak anak ketagih gajet, nombor 3 paling senang nak buat. Sudah menjadi kebiasaan pada zaman sekarang di mana semua peringkat umur mempunyai akses yang mudah terhadap gajet, termasuklah kanak-kanak. Namun ia bukanlah sesuatu yang menyihatkan kerana kanak-kanak main gadget tanpa kawalan boleh mengundang ketagihan melampau.
Ketagihan merupakan antara bahaya gadget yang ramai ibu bapa tidak sedar.
Oleh sebab itu, kami bawakan cebisan pengalaman daripada Puan Nadia Salwa Roslan berkenaan bagaimana dirinya mengawal penggunaan gajet terhadap anaknya sehingga si kecil tidak lagi bergantung kepada gajet setiap hari.
Ini kisah Puan Nadia Salwa dalam menapis bahaya gadget terhadap anaknya!
Nur Muhammad, pemalu tetapi berimaginasi tinggi
Nur Muhammad Ahmad Nazrin, merupakan kelahiran sulung ibu muda ini. Pada tahun ini, Nur Muhammad sudah pun berumur 6 tahun.
Menurut Puan Nadia Salwa, anaknya ini merupakan seorang yang agak aktif, manja, pemalu dan dalam masa yang sama berimaginasi tinggi.
Sepanjang membesarkan Nur Muhammad, prosesnya boleh dikatakan agak mudah kerana anak sulungnya ini bukanlah jenis kanak-kanak yang mudah buat perangai.
Namun memandangkan anak ini juga mempunyai sifat yang manja dan agak pemalu, dia sukar untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan susah berenggang dengan si ibu.
Jadi tidak hairan jika Nur Muhammad boleh menangis sehingga sebulan lamanya setiap kali dihantar ke tadika.
Sedar bahaya gadget, ibu ini kawal penggunaan gajet anak sejak kecil
Menurut Puan Nadia Salwa, kesedaran untuk mengawal penggunaan gajet terhadap anaknya telah lama timbul.
Ini kerana dia mengetahui bahawa bahaya gadget dengan penggunaan yang terlalu kerap atau lama sememangnya boleh mengganggu perkembangan kanak-kanak.
Tidak dinafikan bahawa anaknya akan diberikan peluang untuk menggunakan gajet setiap hari, namun ia bukanlah sepanjang masa.
“Dalam sehari mungkin Nur Muhammad akan diberikan peluang menggunakan gajet dalam dua hingga tiga kali sahaja selama 30 hingga 45 minit.”
Tambahnya lagi, kawalan terhadap penggunaan gajet ini tidak akan menjadi sukar jika kita sebagai ibu bapa memaklumkan peraturan penggunaan gajet lebih awal kepada anak agar mereka faham sebelum menggunakannya.
Ini 5 cara Puan Nadia Salwa gunakan untuk elak anaknya ketagihan gajet
Ibu ini mengamalkan 5 kaedah utama dalam mengawal anaknya main gadget agar tidak mengalami ketagihan.
Antara tip-tip yang digunakan oleh Puan Nadia Salwa untuk mengelakkan bahaya gadget terhadap anaknya ialah:
#1. Kurangkan main gadget bagi kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah
Menurutnya, kanak-kanak yang berusia tiga tahun ke bawah tidak seharusnya diberikan peluang main gadget tanpa kawalan atau terlalu lama.
Ibu bapa perlu meminimumkan penggunaan gajet bagi kanak-kanak pada usia sebegini. Main gadget cukup sekadar sebagai hiburan tambahan sahaja, bukan sebagai alat hiburan utama.
#2. Letakkan syarat sebelum anak main gadget
Apabila anak sudah mula menginjak umur tiga tahun, mereka sudah mula boleh memahami apa yang kita katakan kepada mereka.
Oleh itu, ibu bapa boleh meletakkan syarat tertentu sebelum membenarkan anak menggunakan gajet.
Sebagai contoh, pastikan anak sudah solat, makan atau mengemas permainan mereka sebelum dibenarkan untuk menggunakan gajet.
#3. Tetapkan had masa anak menggunakan gajet
Selain itu, ibu bapa juga perlu memberikan peringatan awal kepada anak berkenaan tempoh masa penggunaan gajet.
Menurut Puan Nadia Salwa,
“Apabila sudah tiba 5 minit terakhir, ingatkan anak bahawa masa mereka untuk menggunakan gajet hanya tinggal 5 minit sahaja lagi. Dengan cara ini, anak akan menjadi lebih peka dan akan memberikan kerjasama dengan mudah untuk memulangkan semula gajet yang telah digunakan.”
#4. Terangkan bahaya gadget kepada anak
Penerangan berkenaan keburukan dan bahaya gadget kepada anak juga amat penting, agar dia tahu dan faham mengapa tidak boleh main gadget dengan kerap.
Sebagai contoh, anda boleh katakan kepada anak bahawa gajet boleh merosakkan mata jika mereka menggunakannya dalam tempoh masa yang terlalu lama.
Apabila mereka memahami keburukan gajet, insya-Allah anak-anak boleh menerimanya dan memberikan kerjasama.
#5. Pantau siaran atau kandungan gajet yang ditonton
Ibu bapa boleh menetapkan siaran-siaran tertentu yang bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak pada gajet agar mereka tidak menonton kandungan yang tidak sepatutnya.
Jika anak anda terlihat kandungan siaran yang tidak sesuai, jangan terus memarahi atau menengking mereka kerana anak masih lagi belum matang dan tidak memahami apa yang boleh atau tidak boleh untuk ditonton.
Ini adalah tugas ibu bapa untuk menerangkan kepada anak dengan sebaik mungkin agar mereka faham apa yang boleh ditonton dan apa yang tidak boleh.
Mood anak lebih gembira apabila kurang menggunakan gajet
Puan Nadia Salwa akui apabila Nur Muhammad tidak terlalu bergantung kepada gajet, anaknya itu akan lebih banyak melakukan aktiviti-aktiviti fizikal di rumah.
Selain itu, si kecil juga mempunyai lebih banyak masa untuk belajar sesuatu yang bermanfaat daripada buku-buku bacaan.
Bukan itu sahaja, mood anak ini juga lebih mudah menjadi gembira memandangkan dia menghabiskan lebih banyak masa berinteraksi dengan ibu bapanya berbanding bersama gajet.
Apabila mood anak-anak menjadi gembira, mereka akan lebih mudah mendengar kata dan tidak terlalu leka berbanding ketika menggunakan gajet.
Bahaya gadget: Cabaran melatih anak untuk kurangkan penggunaan gajet
Memandangkan Puan Nadia Salwa merupakan seorang suri rumah yang menjalankan perniagaan online, maka secara tidak langsung dirinya akan lebih banyak menggunakan telefon pintar atau tab.
Cabaran utamanya ialah, ibu ini sendiri perlu mengehadkan penggunaan telefon pintar di hadapan anak-anak agar ia menjadi contoh utama kepada si kecil.
Selain itu, dia sendiri perlu bersikap lebih tegas dan berdisiplin terhadap anaknya agar tidak dimanipulasi dengan pujuk rayu anak untuk menggunakan gajet.