Ratu Elizabeth II: Keturunan Nabi SAW atau Firaun? Seperti biasa, apabila berlaku suatu peristiwa besar dalam dunia, pasti akan timbul pelbagai “teori (ulasan)” menarik dari sekalian netizen sehingga mencetuskan perselisihan. Dengan berita kemangkatan Ratu Elizabeth II, perkara ini juga tidak terkecuali.
Ada netizen mendakwa Ratu Elizabeth II itu keturunan ke-43 Nabi Muhammad. Ada pula netizen mendakwa Ratu Elizabeth II itu keturunan ke-43 Firaun. Mana satu yang betul ni, keturunan Nabi ke keturunan Firaun?
– Dakwaan 1 (Elizabeth II keturunan Nabi)
Zaida seorang puteri dari keturunan Nabi Muhammad yang meminta perlindungan kepada Raja Sepanyol dari penguasaan Dinasti Murabbitun telah dimurtadkan dan berkahwin atau dijadikan gundik raja tersebut. Keturunan Raja Sepanyol ini melahirkan kerabat DiRaja England dan seterusnya sampai kepada Elizabeth II.
– Jawapan
Ketika zaman Reconquista (golongan Kristian Eropah tawan semula wilayah semenanjung Iberia dari pemerintah Islam), memang ramai umat Islam dipaksa murtad. Bahkan tidak mustahil ada keturunan Nabi yang ketika itu menjadi para bangsawan di wilayah Andalusia juga turut dipaksa murtad.
Sumber Kristian mendakwa Zaida iaitu puteri Sultan Muhammad III al-Mu’tamid bin Abbad iaitu pemerintah Taifah Sevilla, Andalusia-Sepanyol yang dikatakan berketurunan Nabi Muhammad telah berkahwin atau menjadi gundik Raja Alfonso VI of Castile. Zaida telah dipaksa baptis memeluk Kristian Katolik lalu dikatakan memakai nama Isabella. Isabella ialah nama isteri Raja Alfonso yang melahirkan keturunan baginya.
Walaubagaimanapun, menurut sumber Islam, Zaida itu bukan puteri (daughter) Sultan al-Mu’tamid, tetapi hanyalah menantu (daughter-in-law) sahaja. Jadi dakwaan Zaida sebagai keturunan Nabi Muhammad adalah tidak terbukti.
Jikapun Zaida itu memang masih merupakan keturunan Nabi Muhammad dari jalur lain, namun sejarawan tetap meragui adakah Zaida yang dikatakan menukar nama sebagai Isabella ini adalah identiti yang sama dengan Isabella isteri keempat Raja Alfonso.
Jikapun Isabella isteri keempat Raja Alfonso itu sememangnya Zaida, tetap keturunan mereka itu tidak dianggap Ahlul Bayt kerana nasab mereka terputus disebabkan murtad. Bahkan, perkaitan Raja Alfonso di Sepanyol sehingga membawa kepada keturunan Edward IV of England dan seterusnya sampai kepada Ratu Elizabeth II juga berlaku banyak kesamaran.
– Dakwaan 2 (Elizabeth II keturunan Firaun)
Firaun Cleopatra berkahwin dengan Julius Caesar kemudian Cleopatra dibawa ke Rome. Perkahwinan ini kemudiannya melahirkan keturunan Dinasti Merovingian dan seterusnya melahirkan kekerabatan DiRaja Britain sehingga sampai kepada Ratu Elizabeth II.
– Jawapan
Firaun adalah satu gelaran bagi pemerintah di Mesir Purba. Firaun ini ada ramai dan melalui banyak dinasti. Firaun yang dilaknat di zaman nabi Musa sepertimana yang disebut dalam al-Quran itu hanyalah salah satu daripada keseluruhan firaun-firaun dari pelbagai dinasti yang ada ini. Jadi, firaun yang mana satu yang nak dikaitkan tu?
Jika menurut dakwaan, firaun yang dikaitkan dalam isu ini ialah Firaun Cleopatra VII Philopator. Cleopatra ini sebenarnya bukanlah keturunan firaun-firaun yang berasal dari Mesir. Dia dari keturunan Greek yang datang menjajah Mesir lalu memakai gelaran firaun. Cleopatra adalah dari Dinasti Ptolemy (zaman Graeco-Roman).
Tiada bukti yang menunjukkan Cleopatra dan Julius Caesar melahirkan keturunan Dinasti Merovingian. Dinasti Merovingian ini juga tidak dihubungkan kepada Dinasti Windsor iaitu kekerabatan Ratu Elizabeth II. Dinasti Windsor yang dahulunya terkait dengan Dinasti Wettin cabang Saxe-Coburg and Gotha ini berasal dari German.
– Kesimpulannya, dakwaan Elizabeth II adalah keturunan Nabi Muhammad disandarkan kepada sangkaan yang lemah. Dakwaan Elizabeth II adalah keturunan Firaun pula disandarkan kepada sangkaan yang tidak terbukti. Ya, memang boleh dikatakan tidak mustahil Elizabeth II ini berketurunan Nabi atau Firaun, tetapi setiap dakwaan yang hendak diiktiraf sebagai fakta perlu disertakan sandaran yang jelas. Jika tidak, ia masih bertaraf teori atau lebih rendah lagi hanya sekadar hipotesis.
Setakat sekarang, sandaran yang dibawa masih sangat diragui. Tetapi, jika memang Elizabeth II adalah keturunan Firaun sekalipun, tetaplah dia tidak menanggung laknat dan dosanya Firaun yang disebutkan dalam al-Quran. Dan jika memang Elizabeth II ada secamca dua darah Nabi Muhammad sekalipun, tetaplah tiada apa kelebihan padanya sekiranya tidak disertakan dengan IMAN.
BACA:
Berita kematian M. Daud Kilau tersebar
Puteri Balqis bidas Azhar Sulaiman, ‘awak dah tulis nota bunuh diri untuk kami’
Ibu muda usia 25 tahun lahirkan kembar sembilan, mengah doktor nak sambut