Jual Volkswagen Passat, beli Perdana terpakai – Doktor ini tak malu nak ‘downgrade’. Bercerita tentang entry yang dikongsikan oleh pemilik akaun Muhamed Ridzuan yang juga merupakan seorang doktor atau lebih mesra disapa Ciwan rupanya ada kisah yang tersendiri yang menyebabkan dia nekad jual Passat dan beli Proton Perdana!
Semoga apa yang dikongsikan ini menjadi tauladan dan kebaikan untuk lelaki yang bergelar suami dan ayah khususnya dalam membuat pilihan terbaik untuk keluarga.
Minat Kereta Mewah
Difahamkan minat Dr Ridzuan terhadap kereta bukan baru setahun dua, tetapi sejak masih belajar lagi.
“Sejak dulu lagi saya memang minat kereta jenis sedan macam Honda City atau Toyota Camry tapi masa tu masih belajar, jadi saya pakai Perodua Viva.
“Pada 2019, saya buat keputusan untuk tukar kereta baharu. Saya pergi banyak showroom untuk test drive kereta-kereta mewah. Saya cuba pandu kereta Honda, Toyota, Hyundai dan Mazda termaksuklah Volkswagen.
“Apabila cuba pandu kereta Volkswagen saya terus tertarik dengan Passat yang laju dan kawalan steering yang mantap. Tanpa berfikir panjang, saya terus tempah kereta tu,” ceritanya bersungguh-sungguh.
Beli Untuk Enjoy
Menyambung cerita lagi, kereta tersebut dibeli ketika dia sudah bergelar bapa kepada seorang cahaya mata dengan membuat bayaran deposit sebanyak RM6,000.
“Saya beli kereta tu memang fikir untuk enjoy saja. Kereta dibeli pada harga RM195,000 dan RM5,000 insuran. Pada masa tu saya ditawarkan rebat sebanyak RM20,000 dan saya buat pinjaman bank sebanyak 170,000 sahaja.
“Setiap bulan saya kena bayar ansuran hampir RM2,000 untuk kereta. Walaupun gaji RM5,000 hingga ke RM6,000 ketika tu dan ada pendapatan sampingan buat locum swasta sebanyak RM2,000, saya tak sedar yang saya masih tak layak beli kereta macam tu,” jelasnya lagi.
Berat Hati Melepaskan
Selepas berkahwin dan dikurniakan anak dan dia mula menyedari bahawa komitmen hidup semakin bertambah kerana pada masa dia turut membeli sebuah rumah selain isteri sedang hamil anak kedua mereka.
Akur dengan keperluan semasa, Dr Ridzuan akhirnya menjual kereta kesayangannya itu pada April 2022 pada harga RM120,000 dan menukar kepada sebuah kereta terpakai dengan bayaran bulanan yang jauh lebih rendah.
“Saya mula sedar komitmen hidup sudah melebihi kemampuan sejak menyertai seminar hartanah dan pengurusan kewangan awal tahun haritu. Sedikit sebanyak ilmu berkaitan kewangan saya ketahui sejak tu.
“Awal Mac tahun ni, saya ambil keputusan jual Passat tu. Saya iklankan dekat Facebook untuk cari pembeli walaupun berat hati nak lepaskan. Sebulan lepas tu kereta terjual tapi terpaksa tambah duit RM30,000 dekat bank sebab harga kereta terjual lebih rendah berbanding baki hutang.
“Kemudiannya, saya cari kereta terpakai untuk gantikan kereta tu. Saya perlukan kereta besar supaya lebih selesa untuk bawa keluarga. Alhamdulillah saya jumpa kereta Proton Perdana tahun 2017 berharga RM60,000,” ujarnya lagi.
Keputusan Dr Ridzuan mendapat sokongan penuh oleh keluarga dan kawan-kawan yang menghormati langkah dibuat secara drastik ini.
Dalam pada itu, Dr Ridzuan turut mengingatkan orang ramai supaya membuat perkiraan yang betul sebelum membeli kereta idaman.
BACA:
Noh Salleh buat hal lagi, selamba catwalk sambil merokok di pentas
Makcik cleaner Masjid Negara sembang bahasa Jepun dengan delegasi luar, siap pegang mop
Jebat Jayden ‘kantoikan’ babanya bila kena tanya pasal girlfriend