Zahid sekali lagi laung amaran, ‘buat PRU sekarang atau BN kalah’. Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran Barisan Nasional (BN) akan tewas jika pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak diadakan segera.
Katanya, tindakan melengah-lengahkan PRU hanya akan memberi “senjata” kepada pembangkang yang ketika ini menyerang menggunakan pelbagai persepsi untuk menggugat keyakinan akar umbinya.
Katanya, pembangkang cuba menyerang, mengelirukan rakyat dan menggambarkan bahawa mereka adalah yang terbaik walaupun sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan (PH) berkuasa, keadaan sebaliknya berlaku apabila perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan kerana tahu tidak dapat menunaikan manifestonya.
Sehubungan itu, tegasnya, pimpinan parti dan akar umbi sangat yakin bahawa kini adalah waktu terbaik untuk menyegerakan PRU15.
“Umno sudah membuat pendirian tersebut sudah lama pun. Kini terpulanglah kepada pucuk pimpinan kerajaan untuk menyegerakan tuntutan akar umbi dan parti Umno.
“Segerakanlah atau Umno, BN akan tewas PRU. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidaklah berguna,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, kebimbangan pembangkang yang tidak mahu pilihan raya dibuat segera dapat dilihat menerusi pengakuan Mahathir bahawa Umno mahu pilihan raya awal kerana yakin rakyat masih memandang tinggi terhadap parti itu.
“Berdasarkan temu bual dengan The Associated Press yang disiarkan Astro Awani, Ahli Parlimen Langkawi itu, berkata ketika ini pembangkang sudah berpecah-belah, sekali gus memberi ruang kepada Umno untuk menang besar.
“Beliau terpaksa mengakui bahawa dari sudut kerajaan, pilihan raya awal adalah satu perkara yang baik kerana kerajaan sudah bersedia dan pembangkang pula tidak bersedia,” katanya.
Sebelum ini, Zahid pernah mendesak PRU15 diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.
Zahid dipetik sebagai berkata, gesaan itu dibuat setelah melihat kedudukan kerajaan yang amat rapuh dan negara berada dalam keadaan kerugian apabila tiada pelaburan langsung asing (FDI) yang masuk ke negara ini.
Bagaimanapun, ada juga kalangan pemimpin Umno yang tidak bersetuju dengan pandangan tersebut dan berpendapat kerajaan sedia ada perlu kekal hingga habis penggal PRU14, iaitu pada pertengahan tahun depan.
Antaranya, Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz yang tidak bersetuju jika PRU diadakan awal kerana boleh menimbulkan kucar-kacir.
BACA:
Jual Teh O Ais Rm5 sebekas, peniaga Port Dickson kena kompaun
Mira Filzah selamba sebut nama Sari Yanti depan Jep, “gelabah kawan tu..”