Zuraida letak jawatan dalam kabinet, ini respon Ismail Sabri.Datuk Zuraida Kamaruddin masih menteri Kabinet dan kedudukannya akan ditentukan selepas mereka mengadakan pertemuan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri menjelaskan kedudukan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada sidang media sebelum mengakhiri lawatan kerja rasmi ke Jepun, di sini, pagi ini.
Beliau berkata, Zuraida perlu menjalankan tugas sebagai menteri seperti biasa dan boleh menghadiri mesyuarat Kabinet terdekat kerana kedudukannya sebagai menteri Kabinet akan diputuskan selepas mereka bertemu kelak.
“Saya tak pecat, dia masih menteri Kabinet sehingga mesyuarat (Kabinet) Rabu ini. Tunggu saya balik, saya panggil dia bincang. Kemudian baru saya boleh buat keputusan,” katanya.
Ismail Sabri berkata, beliau hanya mengetahui mengenai isu Zuraida melalui liputan media, dan Zuraida masih belum menghubunginya hingga kini.
“Sebelum dia hubungi, jumpa saya, dia (Zuraida) masih menteri, sebab dia kata dia akan jumpa saya dan berbincang dengan saya. Jadi tunggu saya balik dulu, dia bincang dengan saya, baru kita buat keputusan,” katanya.
Zuraida letak jawatan dalam kabinet, ini respon Ismail Sabri
Ismail Sabri berkata, beliau menghormati pelbagai pandangan berhubung Zuraida, namun keputusan akhir mengenai kedudukan Zuraida masih terletak pada perdana menteri.
Ditanya jika beliau akan menerima peletakan jawatan Zuraida selepas mereka bertemu kelak, Ismail Sabri berkata: “Saya tak nak cakap pasal ‘jika’ ini. Kita seberangi jambatan, baru kita buat keputusan. Sekarang jambatan pun tak nampak lagi.”
Ismail Sabri juga berkata sebarang perubahan pada Kabinet perlu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau ada pelantikan baharu, angkat sumpah, ia bukan satu perkara yang mudah. Saya mesti menghormati Agong,” katanya.
Ditanya adakah Kabinet pimpinannya masih utuh dengan tindakan Zuraida, Ismail Sabri berkata: “Tiada isu sangat.”
Menurutnya, pandangan ‘orang luar’ mungkin menyangka Kabinet hari ini ‘kelam kabut’ kerana dianggotai pelbagai parti, namun sebenarnya anggota Kabinet sekarang akan meninggalkan segala perbezaan politik ketika membuat keputusan demi kepentingan negara.
“Bila masuk Kabinet, kita tinggalkan perbezaan contohnya di (pilihan raya negeri) Johor dan Melaka, kita tak bawa pun dalam Kabinet. Fokus kita dalam Kabinet adalah untuk kepentingan negara dan rakyat tanpa mengira parti mana, kita buat keputusan secara bersama,” katanya.
Khamis lalu, Zuraida dalam kenyataan mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar BERSATU untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Ini menjadikan Zuraida sudah dua kali bertukar parti selepas ‘Langkah Sheraton’ apabila sebelum ini bertindak keluar PKR dan menyertai BERSATU dan kini keluar BERSATU untuk sertai PBM.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau memutuskan menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti baharu berkenaan.
Beliau turut menyatakan akan berjumpa dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatan dalam Kabinet.
Sebelum ini, di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Zuraida dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Menjelaskan peletakan jawatan itu, Zuraida berkata, beliau akan terus menyokong kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri walaupun kini menyertai PBM. Ini kerana sokongan kepada kerajaan sekarang adalah selari dengan pendirian PBM.
“Saya sudah membuat pertimbangan yang mendalam untuk menyertai PBM dan mempercayai dengan perjuangan parti itu serta tertarik dengan enam prinsip terasnya iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
“Saya melihat banyak potensi dalam PBM, terutamanya pada masa rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik lama yang membantutkan kemajuan negara.
“Insya-Allah, penyertaan serta pengalaman saya ke PBM nanti akan dapat membantu mengangkat parti ini ke peringkat yang lebih tinggi terutama menjelang pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.
Menurut Zuraida, beliau sudah berkecimpung dalam politik selama 24 tahun, termasuk 14 tahun terakhir ini sebagai Ahli Parlimen Ampang.
“Sepanjang pembabitan dalam politik, saya amat bersyukur kerana dapat menyumbang kepada kebajikan rakyat khususnya pengundi di Ampang dan di kedua-dua kementerian yang saya telah diberikan amanah untuk berkhidmat,” katanya.
BACA:
Rakyat disaran beli ikan air tawar jika ikan laut mahal – MB Kelantan
Rupanya ini beza ‘Guna Sebelum’ dan ‘Baik Sebelum’ pada produk makanan dan minuman
Anak Azhar Zulaiman pakai baju tali halus, benda lain pula yang netizen perasan