Zon hijau perlu diberi kebenaran menjalankan aktiviti ekonomi

Zon hijau perlu diberi kebenaran menjalankan aktiviti ekonomi

KENYATAAN MEDIA
MAJLIS SETIAUSAHA PAKATAN HARAPAN
8 April 2020
KERAJAAN PATUT LONGGAR PKP MENGIKUT ZON STATUS JANGKITAN

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua telah berjalan selama 8 hari sejak 1 April dan akan berakhir of 14 April. Sama ada ia akan disambung atau berhenti setakat itu belum dipastikan.Laporan harian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membayangkan bahawa objektif utama PKP untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dan melandaikan lekuk epidemik(flattening the epidemic curve) dengan mengurangkan interaksi sosial mula menampakkan kejayaan.

Setakat ini jumlah katil hospital untuk pesakit Covid-19, serta kemudahan ICU termasuk jumlah alat bantuan pernafasan berada pada tahap memuaskan. Kadar penyembuhan pula dilaporkan tinggi iaitu 33% manakala jumlah kematian setakat hari ini ialah 63 atau 1.6% dari jumlah kes positif.

Berdasar pencapaian sehingga hari ini maka adalah wajar bagi Kerajaan menimbangkan pendekatan mengembalikan suasana kehidupan rakyat di mana sebahagian aktiviti ekonomi boleh dibenarkan untuk membantu memulihkan ekonomi serta pendapatan rakyat.

Kerajaan melalui KKM mempunyai cukup data dan statistik, serta pemetaan taburan kes positif Covid-19 mengikut mukim, daerah, serta lokaliti. Ada daerah atau lokaliti yang memang tidak terkesan dengan jangkitan Covid-19 sejak dari awal epidemik ini bermula, yang ditakrif zon hijau.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan berpandangan sekiranya PKP diteruskan selepas 14 April,beban ekonomi khususnya kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan kumpulan B40 terutama yang berada dalam zon hijau dapat dibantu dengan mengambil langkah-langkah berikut.

Kerajaan mengisytiharkan zon hijau Covid-19 mengikut kedudukan terkini jangkitan, mengikut daerah atau mukim.

Penduduk di zon hijau ini dibenarkan menjalankan viti ekonomi seperti membuka gerai makanan, pasar tani, bengkel kereta dan sebagainya, tertakluk kepada syarat-syarat dan garis panduan KKM.

Kawalan rapi perjalanan keluar masuk ke kawasan hijau dikekalkan oleh pasukan keselamatan.

Syarat-syarat dan garis panduan KKM berkait urusan penjarakan sosial, kebersihan diri,pemakaian penutup muka (face mask) serta larangan majlis keramaian atau perhimpunan orang ramai dikekalkan.

Majlis Setiausaha berpandangan langkah-langkah di atas akan memberi galakan kepada rakyat terutama di zon hijau untuk terus mematuhi PKP, mengurangkan jangkitan, serta mula memulihkan ekonomi setempat.

YB Datuk Wira Dr Hatta
Ramli
Parti Amanah Negara
(AMANAH)

YB Fahmi Fadzil
Parti Keadilan Rakyat
(KEADILAN)

YB Loke Siew Fook
Parti Tindakan Demokratik
(DAP)