Zaman dia telah berlalu, Zahid Hamidi sekolahkan Lim Guan Eng

Oleh AHMAD SULAIMAN

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, menasihatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung parti-parti lain dalam kerajaan perpaduan yang wujud pada hari ini.

Zahid mengingatkan Lim bahawa zaman beliau sebagai Setiausaha Agung DAP telah berlalu, dan kini tiba masanya untuk memberi kepercayaan penuh kepada kepemimpinan DAP yang baru.

“Saya rasa tidak perlu mengulas lebih lanjut mengenai pendapat peribadi beliau.

Zaman beliau sudah berlalu, jadi berikanlah kepercayaan kepada kepemimpinan DAP yang ada sekarang. Janganlah mencetuskan ketegangan dengan menyentuh mana-mana pihak,

” ujar Zahid ketika ditemui di Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya hari ini.

Zaman dia telah berlalu, Zahid Hamidi sekolahkan Lim Guan Eng

Timbalan Perdana Menteri itu memberikan komen susulan kenyataan Lim yang mengingatkan bahawa kerjasama antara UMNO dan PAS dalam perhimpunan solidariti bagi bekas Perdana Menteri Najib Razak pada Isnin depan boleh mencetuskan persoalan mengenai kedudukan UMNO dalam kerajaan.

Lim turut memberi amaran bahawa tindakan tersebut boleh memberi kesan terhadap kestabilan politik negara dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan UMNO dalam membentuk kerajaan pada tahun 2022 dengan restu Yang di-Pertuan Agong.

UMNO dan PAS sebelum ini telah bersetuju untuk mengadakan perhimpunan setiakawan bagi Najib pada 6 Januari di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Perhimpunan ini akan berlangsung serentak dengan pendengaran kes mengenai titah tambahan diraja, yang berkemungkinan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Kerjasama antara UMNO dan PAS dalam perhimpunan ini juga menjadi titik sejarah, kerana ia adalah kolaborasi pertama antara kedua-dua parti selepas berakhirnya Muafakat Nasional pada 2022.

BACA: Ketua Dewan Ulamak Pas Selangor mohon maaf, sengaja fitnah PMX