Zahid flip flop dalam hubungan MN, dakwa Annuar

Zahid flip flop dalam hubungan MN, dakwa Annuar

Bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa hari ini mengesahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membuat perakuan bertulis menyatakan sokongannya kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Menurutnya, akuan itu juga dipersembahan kepada Yang di-Pertuan Agong sekali gus bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya mengesahkan wujudnya sokongan secara hitam putih oleh presiden Umno kepada Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan PN yang dianggotai BN.

“Akuan itu dialamatkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Sidang media berkenaan diadakan sehari selepas ahli parlimen Ketereh itu diketepikan daripada jawatannya sebagai setiausaha agung BN.

Annuar berkata, tindakan diambil Ahmad Zahid itu merupakan percubaan dan perundingan yang melibatkan DAP dalam apa yang diistilahkan pembentukan jajaran baru politik.

“Percubaan menggugat kestabilan kerajaan PN berkali-kali yang menyebabkan terjejasnya hubungan baik terutamanya antara Umno, PAS dan Bersatu yang merupakan parti teras yang telah mewujudkan Perpaduan Melayu dan Islam di negara ini,” katanya.

Menjelaskan pemecatannya semalam, menteri Wilayah Persekutuan itu berkata dia menerima keputusan dibuat Ahmad Zahid selaku pengerusi BN dan ia dimaklumkan kepadanya melalui WhatsApp pada jam 1.51 petang.

Menurut Annuar selaku setiausaha agung BN dia hanya boleh melaksanakan tugas dengan baik jika wujud perasaan saling meyakini dan mempercayai dengan pengerusi gabungan tersebut.

“Walaupun sememangnya wujud suasana sedemikian sebelum ini, namun sejak kebelakangan ini, suasana tersebut telah berubah berikutan beberapa perkara, peristiwa dan dasar yang menuntut saya mempertahankan prinsip dan Pendirian politik saya secara tegas serta berterus terang,” katanya.

Kata Annuar selain sokongan secara hitam putih yang diberikan kepada Anwar, ada beberapa isu yang timbul sewaktu dia menjadi setiausaha agung BN.

Antaranya kata Annuar percubaan dan rundingan melibatkan DAP dalam pembentukan jajaran baru politik dan cubaan menggugat kestabilan kerajaan PN hingga menjejaskan hubungan baik terutamanya antara Umno, PAS dan Bersatu.

Selain itu isu yang disenaraikan Annuar ialah:

Situasi flip-flop pimpinan khususnya Pengerusi BN dalam perkara-perkara dasar berhubung Muafakat Nasional (MN) sehingga berlaku kesamaran dan kekaburan dalam hala tuju MN.
Seruan demi seruan untuk dibubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya dalam situasi rakyat menderita akibat penularan pandemik Covid-19 dan tekanan ekonomi yang sangat berat.
Kegagalan pimpinan mewujudkan keharmonian dan ketertiban dalam parti hingga berterusan bertelagah secara terbuka telah menyebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap visi yang dibawa oleh parti.
Keputusan-keputusan parti seperti No DAP, No Anwar, sokongan en-bloc kepada kerajaan PN dan lain-lain telah tidak dihormati.
“Perbezaan pendirian ini menuntut saya mengambil ketetapan untuk tidak bersekongkol dengan gerakan-gerakan yang tidak selari dengan keputusan rasmi MKT (Majlis Kerja Tertinggi Umno),” katanya.

Dengan perbezaan prinsip itu kata Annuar adalah lebih baik untuknya tidak bersubahat dengan hala tuju Ahmad Zahid.

Dengan tidak lagi menjadi setiausaha agung BN, katanya, dia lebih bebas bertindak dan membuat pendirian politik mengikut hati nurani saya sendiri bersama rakan-rakan yang sealiran.

“Justeru, saya dengan penuh reda menerima pemecatan ini dan berserah kepada Allah SWT.

“Saya akan terus berjuang atas wadah perjuangan Umno dan akan terus menyumbang ke arah Umno yang bermaruah, berintegriti dan kekal memimpin penyatuan ummah dan menunjangi permuafakatan nasional,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/557823

COMMENTS