Warisan ‘ok’ untuk sokong belanjawan – Shafie

Warisan ‘ok’ untuk sokong belanjawan – Shafie

Presiden Warisan Shafie Apdal berkata parti itu tidak mempunyai masalah untuk menyokong Belanjawan 2021 jika perinciannya secara menyeluruh membantu rakyat, mengatasi Covid-19 dan memulihkan ekonomi.

Katanya, belanjawan akan dibentangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak harus hanya berpaksi kepada pembangunan semata-mata, sebaliknya turut melibatkan rakyat dan komuniti perniagaan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Selain itu, beliau yang juga ahli Parlimen Semporna berkata, belanjawan itu juga perlu memberi fokus kepada kekurangan dari segi sektor perubatan dan kesihatan di Sabah yang dilihat jauh ketinggalan berbanding negeri lain.

“Tidak ada masalah bagi sokongan (Belanjawan 2021) kalau ia berpatutan, bertepatan dengan apa yang dititah Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) serta raja-raja Melayu demi kepentingan rakyat dan negara kerana itu penting bagi kita.

“Kalau untuk kepentingan rakyat contohnya bantuan prihatin makanan bagi membantu mereka yang terbeban, kita akan bagi sokongan tetapi dalam pada itu contohnya kita di peringkat negeri Sabah, perubatan serta sistem kesihatan begitu jauh ketinggalan bukan hanya jumlah doktor yang tidak mencukupi bahkan juga hospital yang ada kadang-kadang tidak cukup untuk laksanakan kuarantin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafie berkata, kerajaan juga perlu memastikan Covid-19 yang melanda Sabah diuruskan sebaik mungkin termasuk menyediakan lebih banyak pusat kuarantin berhampiran masyarakat demi memastikan rakyat tidak mengalami kesusahan.

“Saya (ketika ketua menteri) dulu sehingga jadikan pusat sukan sebagai tempat kuarantin, beberapa hari lalu saya ada berhubung dengan doktor di daerah seperti Lahad Datu, Tawau, Kunak, Semporna dan saya kata jadikan dewan masyarakat di Pulau Bum-Bum sebagai salah 1 pusat kuarantin.

“Kalau kita pindahkan pesakit ke pusat bandar di Tawau atau Semporna, ia tidak akan mencukupi sebab tidak mudah bagi kita untuk pindahkah mereka.

“Tetapi kalau kita sediakan pusat kuarantin itu di tempat yang tidak jauh (dari masyarakat), ia ringankan beban rakyat dan ini yang kita katakan prihatin belanjawan berkonsep prihatin rakyat,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/27/bantu-rakyat-atasi-covid-19-pulih-ekonomi-warisan-tiada-masalah-sokong-belanjawan-kata-shafie/

COMMENTS