Warga emas mangsa pertama korban banjir di Johor

Warga emas mangsa pertama korban banjir di Johor

Seorang warga emas ditemui lemas selepas terjatuh ke longkang sedalam dua meter di Jalan Setia, Kampung Contoh, dekat Kluang.

Menurut laporan Sinar Harian, wanita itu ialah korban pertama banjir di Johor.

Mangsa dikenali sebagai Halijah Majid, 59, yang dikatakan terjatuh ke longkang dipenuhi air kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Shamsul Amri Mohd Shahab berkata, sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

“Mangsa dibawa naik ke kawasan selamat oleh orang awam dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh kakitangan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Bernama melaporkan banjir di Johor kini melibatkan lima daerah dengan jumlah mereka yang terjejas meningkat kepada 1,780 orang setakat 8 malam tadi berbanding 1,000 orang pada 4 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, Batu Pahat menyusuli Johor Bahru, Kulai, Kluang dan Kota Tinggi dilanda banjir.

Katanya, 14 lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, menjadikan keseluruhan 28 PPS beroperasi setakat 8 malam, iaitu 12 di Kluang, Kota Tinggi (7), Johor Bahru (6), Kulai (2) dan satu di Batu Pahat.

“Di Kluang, jumlah mangsa terus meningkat, iaitu 698 mangsa daripada 206 keluarga melibatkan Kampung Yap Tau Sah, Kampung Kola Air, Kampung Haji Noh, Kampung MD Amin dan Kampung Orang Asli Tanah Runtuh.

“Sementara Johor Bahru merekodkan 690 mangsa daripada 186 keluarga melibatkan antaranya penduduk di Kampung Laut Batu 10 Skudai, Kampung Sentosa Barat, Kampung Sentosa Damai, Lorong Aris Batu 8 Skudai serta Rumah Orang Tua Sam Poh,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Vidyananthan berkata, di Kota Tinggi, 286 mangsa daripada 66 keluarga dipindahkan, melibatkan Kampung Bukit Raja, Kampung Sri Delima, Kampung Sri Jaya, Kampung Muhibbah, Kampung Sedili Kecil dan Kampung Lepau.

Di Batu Pahat, tujuh mangsa daripada empat keluarga melibatkan penduduk Kampung Sungai Sedi Yong Peng, manakala Kulai melibatkan 99 mangsa daripada 25 keluarga dari Kampung Sungai Siam dan Kampung Jaya Sepakat.

Laluan FT092 Jalan Pengerang-Kota Tinggi ditutup sementara, selepas ditenggelami air.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/02/warga-emas-jadi-korban-pertama-banjir-di-johor/

COMMENTS