Kata-kata boleh menjadi senjata yang lebih tajam daripada mata pedang.
Oleh itu, kita perlu sentiasa menjaga pertuturan kerana tersilap berkata boleh membawa padah yang mendalam.
Seorang wanita berkongsi pengalaman menyedihkan di media sosial yang meninggalkan kesan mendalam pada hatinya.
Menurut wanita itu, kejadian berlaku semasa dia membeli makanan di sebuah gerai selepas menghadiri satu acara.
“Hari itu, saya menghadiri satu acara dan memakai gelang tangan yang merupakan hadiah daripada kawan karib saya suatu masa dahulu.
Ketika rasa lapar, saya singgah ke sebuah gerai yang menjual makanan Arab.
“Di gerai itu, ada tiga remaja perempuan sedang menunggu makanan mereka.
Saya memesan makanan, dan abang penjual memberitahu makanan akan lambat siap kerana banyak pesanan. Dia minta saya berjalan-jalan sementara menunggu. Saya setuju dan membayar makanan menggunakan kod QR seperti biasa.
“Selesai pembayaran, saya tunjukkan bukti bayaran kepada abang tersebut sebelum berlalu pergi. Namun, semasa berjalan, saya terdengar perbualan tiga remaja tadi yang membuatkan hati saya luluh,” kongsinya.
Wanita itu mendakwa remaja-remaja tersebut mengeluarkan kata-kata buruk mengenai penampilannya dengan nada kuat seolah-olah sengaja ingin dia mendengar.
“Mereka berkata, ‘Kenapa akak tu pakai gelang tangan B40, tapi telefon pintar dia macam orang T20?’ Nada suara mereka memang jelas.
Kawan mereka pula menyambung, ‘Aku ada je kenal orang B40, tapi pemakaian dia acah-acah T20.’
“Saya menjeling ke arah mereka, tetapi mereka segera mengalihkan pandangan. Saya terkilan kerana saya tidak pernah mengganggu hidup mereka,” katanya kecewa.
Kisah tersebut mendapat perhatian ramai, dan warga maya memberikan kata-kata semangat kepadanya.
“Mereka hanya cemburu. Jangan peduli apa yang mereka kata, teruskan hidup seperti biasa,” ujar seorang netizen.
Setiap kata yang diucapkan pasti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Jadi, berhati-hatilah dengan apa yang kita tuturkan.
BACA: Individu dedah lirik lagu Ulek Mayang, ada kaitan alam bunian