Wanita PH gesa SPRM henti guna intimidasi dan penyeksaan semasa siasatan

Wanita PH gesa SPRM henti guna intimidasi dan penyeksaan semasa siasatan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menghentikan kaedah intimidasi dan penyiksaan mereka semasa siasatan atau mengambil keterangan daripada saksi.

Nurul Hidayah, pegawai Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq yang telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM sebagai saksi, ketika membacakan laporan polisnya, menyatakan bahawa sepanjang sesi tersebut dengan pegawai SPRM lelaki dan wanita, dia mengalami intimidasi, ancaman dan taktik menakutkan oleh mereka yang menyoalnya sebagai saksi.

Dia dijerit, telefon bimbitnya dilemparkan ke arahnya, dia dipanggil “babi” dan “bodoh”, dia diberitahu bahawa dia pantas hidup sebagai anak yatim piatu ketika keluarganya tidak memperakukannya, dia dipaksa berdiri selama 30 minit di atas satu kaki dengan kedua-dua lengan diangkat semasa menjawab soalan.

Para pegawai bergurau bahawa jika dia letih, dia boleh beralih berdiri di kaki yang lain. Dia diancam akan ditampar oleh seorang pegawai yang pada masa itu tangan pegawai tersebut telah berada hampir pada wajahnya. Kerusi yang didudukinya ditendang oleh pegawai lain, dan dia dengan jelas berada dalam ketakutan ketika dihadapkan kepada 5 pegawai lelaki dan seorang wanita.

Dia meminta untuk berjumpa dengan peguamnya yang pada masa itu berada di lobi bangunan SPRM, tetapi tidak dibenarkan. Mengapa dia tidak diizinkan untuk mendapatkan bantuan atau nasihat daripada peguamnya?

Adakah kaedah menakut-nakutkan dan menyeksa saksi ketika rakaman keterangan diambil adalah Prosedur Operasi Standard yang baharu diamalkan oleh SPRM di bawah Perikatan Nasional ?

Adakah ini perkara baharu di bawah arahan Kerajaan Perikatan Nasional di mana mereka yang telah dipanggil ke pejabat SPRM harus bertahan semasa soal siasat dan penyaksian saksi.

SPRM sebelum ini telah terkenal dan terpalit dengan kes melibatkan kematian Teoh Beng Hock pada 11 tahun yang lalu di Plaza Massalam di Shah Alam, dan juga pegawai Ahmad Sarbani Mohamed yang juga ditemui mati di pejabat SPRM di Kuala Lumpur.

Salah satu cadangan daripada Laporan Suruhanjaya Tun Dzaiddin (untuk IPCMC) adalah menyediakan ruang siasatan dengan pengawasan video. Segala wawancara dengan suspek dan saksi hanya boleh dilakukan dalam ruangan tersebut.

Sekiranya amalan seperti itu diterapkan secara komprehensif oleh semua agensi penguatkuasa termasuk SPRM, mungkin kematian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani dalam premis SPRM dapat dielakkan.

Teknologi ini telah lama wujud, dan digunakan secara meluas di seluruh dunia. Mengapa ada kelewatan dalam menerapkan saranan ini dan sekaligus lambat dalam mewajibkan pelaksanaannya?

Menggunakan teknologi sedemikian akan mendorong peningkatan profesionalisme di kalangan pegawai penguatkuasa dan sekaligus membantu melindunginya terhadap sebarang tuduhan penyalahgunaan, kekejaman dan tingkah laku tidak profesional.

Kegagalan bagi memastikan saranan ini dilaksanakan, secara tidak langsung menunjukkan kurangnya keinginan tulen daripada pihak penguatkuasa untuk bersikap terbuka dan telus, malah mungkinkah ada sesuatu yang perlu disembunyikan mengenai kaedah, taktik dan teknik soal siasat ini .

Datuk Seri Azam Baki selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM mesti melancarkan siasatan mengenai salah laku dan penyiksaan saksi, malah suspek yang dibawa ke semua premis SPRM untuk disoal siasat.

Kami meminta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, agar berani dan segera mengambil tindakan atas laporan polis yang dibuat oleh Nurul Hidayah.

3 bulan di bawah Perikatan Nasional, penyalahgunaan kuasa, penyeksaan dan ancaman secara terang-terangan terus berlaku di SPRM. Soal siasat menggunakan kekerasan yang berlebihan mesti diklasifikasikan sebagai tindakan jenayah dan mereka yang terlibat harus segera diambil tindakan.

Tidak ada tempat untuk tingkah laku samseng dalam agensi kuat kuasa awam seperti SPRM dan Perdana Menteri mesti mengambil langkah untuk menghentikan budaya membuli dan mengganasi suspek dan saksi. Ingat, SPRM juga mempunyai sejarah hitam yang tersendiri dan tidak akan pernah dilupakan oleh semua.

Kami menyatakan solidariti kami kepada saudari Nurul Hidayah dan rakan-rakannya serta semua yang menjadi mangsa penyiksaan, ancaman dan taktik menakut-nakutkan oleh SPRM dan meminta siasatan penuh terhadap insiden mengaibkan ini.

YB RODZIAH ISMAIL
Parti KeADILan Rakyat (KEADILAN)

YB SENATOR HJH RAJ MUNNI @ AIMAN ATHIRAH SABU
Parti Amanah Negara (Amanah)

YB CHONG ENG
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

COMMENTS