Biarpun pada asalnya dirakam untuk kenangan atau perkongsian peribadi, tahukah anda bahawa segala rakaman ini boleh menjadi bukti dan rujukan sejarah?
Mari kita kenali Marion Stokes, seorang wanita yang merakam setiap hari tanpa henti selama 33 tahun hidupnya.
Sebelum kewujudan telefon pintar, Marion telah pun mula merakam pelbagai peristiwa, dan rakamannya masih boleh ditonton hingga ke hari ini
Dengan jiwa seorang pustakawan, beliau mula merakam siaran televisyen secara sistematik bermula pada 4 November 1979.
Rakaman beliau terhenti apabila beliau menghembuskan nafas terakhir pada Disember 2012.
Hasil daripada usaha Stokes, sebanyak 71,716 pita rakaman telah dihasilkan yang merangkumi pelbagai berita.
Menurut laporan media, Fast Company mendapati bahawa pada awalnya, beliau merakam rancangan televisyen secara rawak. Namun, kemudian Stokes lebih menumpukan perhatian kepada siaran berita.
“Beliau mula merakam (rancangan) televisyen secara santai pada tahun 1977. Pelbagai perkara dirakam, tetapi bagi beliau, berita adalah lebih penting. Jadi, apabila saluran televisyen kabel menjadikan saluran berita 24 jam sehari, beliau mula merakam MSNBC, Fox, CNN, CNBC, dan CSPAN sepanjang hari, dengan lapan televisyen terpasang serentak,” kata Fast Company.
Sebagai seorang aktivis hak awam, Stokes merasa curiga dengan siaran berita tentang krisis tebusan Iran yang berlarutan selama beberapa hari dan menjadi berita utama. Stokes dapat menghidu permainan ‘perniagaan’ stesen televisyen dan bertindak memulakan rakaman siaran televisyen tentang berita tersebut.
Sejak saat itu, Stokes nekad untuk mengabadikan peristiwa moral panic yang melibatkan kaum, kelas, dan budaya yang disiarkan di media massa. Malah, kesemua rakaman ini menjadi bukti berlakunya sesuatu peristiwa, walaupun platform media ketika itu, iaitu stesen televisyen, telah memadamkan rekod peristiwa tersebut.
Sebagai seorang pembeli saham terawal Apple yang ketika itu dijual serendah USD7 seunit, Stokes mempunyai kelebihan dalam mendapatkan pita rakaman dalam jumlah yang banyak.
Dengan keuntungan yang diperoleh, Stokes membeli kira-kira sembilan unit apartmen yang dijadikan tempat menyimpan pita-pita rakamannya.
Kini, kesemua pita rakamannya telah diserahkan oleh anaknya kepada sebuah syarikat tanpa keuntungan, Internet Archive. Syarikat ini mengusahakan sebuah perpustakaan Internet percuma.
Seluruh usaha Stokes selama 33 tahun merakam juga telah dijadikan dokumentari arahan Matt Wolf berjudul Recorder: The Marion Stokes Project.
BACA: ‘Kami pilih untuk percaya, apa yang kalut’ Ahli Parlimen Pas jawab Hadi mimpi nabi