Rasa sakit yang terjadi apabila jari tercucuk serpihan kayu atau duri yang disebut sebagai selumbar ini tidaklah perkara yang biasa.
Lebih serius lagi jika selumbar tersebut membawa bakteria atau kuman yang boleh menyebabkan kulit mengalami keradangan.
Seperti yang dialami oleh seorang pengguna di Facebook, Rose Ramli, jarinya pernah tercucuk duri dari pokok jarum tujuh bilah.
Usahanya untuk mengeluarkan duri tajam yang tersisa di dalam jari menggunakan jarum ternyata tidak berjaya dan menyebabkan jarinya itu membengkak selama tiga hari.
Namun, akhirnya wanita ini merasa lega kerana berjaya mengeluarkan duri tersebut dengan menggunakan satu kaedah yang dikongsikan di Facebook.
Cara-caranya adalah:
1. Tambahkan tiga sudu kecil garam ke dalam bekas yang berisi air suam.
2. Rendamkan jari yang masih ada duri selama kira-kira 30 minit.
3. Lepas itu, tekan bahagian jari yang bengkak.
4.Perhatikan bahagian duri yang tercucuk ketika menekan sehingga duri itu keluar.
Rose berkata, duri itu akan ‘meluncur’ keluar dengan mudah setelah mengikuti cara ini.
Dia berkata lagi, dia rasa lega kerana berjaya mengeluarkannya.
Dia risau duri itu boleh menyebabkan masalah yang lebih teruk.
Anda boleh mencuba kaedah yang sama jika terkena selumbar.
Namun, disarankan untuk segera berjumpa doktor jika luka pada bahagian yang terkena duri atau selumbar tidak sembuh walaupun sudah dikeluarkan.