Wanita baru usia 36 tahun dah dapat gelaran nenek, rupanya ini kisah sebenar

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Wanita yang dikenali sebagai Liu melalui perkongsian di platform Douyin berkata bahawa anak lelakinya yang berusia 18 tahun baru sahaja menimang cahaya mata pertama.

Pada 22 Ogos lalu, Liu memuat naik video menunjukkan dirinya mendukung cucunya yang baru dilahirkan.

“Saya sangat gembira dan berbangga kerana mendapat cucu yang comel,” katanya.

Wanita itu turut menyatakan bahawa suaminya juga berasa teruja kerana menjadi datuk pada usia 38 tahun.

Menurut Liu, keluarganya mempunyai tradisi berkahwin awal dan mendapatkan anak pada usia muda.

Wanita baru usia 36 tahun dah dapat gelaran nenek, rupanya ini kisah sebenar

Malahan, ibunya yang baru berusia 58 tahun sudah mempunyai cicit.

Namun begitu, anak dan menantu Liu yang berusia 20 tahun masih belum mendaftar perkahwinan mereka secara sah. Mengikut undang-undang di China, umur sah untuk berkahwin adalah 22 tahun bagi lelaki dan 20 tahun bagi wanita.

Hantaran Liu menjadi tular di media sosial dan menerima pelbagai komen daripada netizen, ada yang menyokong dan ada yang menentang amalan tersebut.

“Pada usia 36 tahun, saya dibebani dengan kerja, namun Liu memasuki fasa baharu dalam hidupnya. Dia sangat bertuah kerana menjadi pemenang sebenar dalam kehidupan,” kata seorang netizen.

“Pada usia 18 tahun, anak lelakinya sepatutnya fokus kepada pengajian di universiti, bukannya menjadi bapa. Tahap pendidikan keluarga ini perlu diperbaiki,” kata pengguna media sosial yang lain.

BACA: Bapa calon BN PRK Mahkota hembus nafas terakhir