‘Wang tunai dari lelaki tak dikenali, sumbangan kepada Yayasan Akalbudi’

‘Wang tunai dari lelaki tak dikenali, sumbangan kepada Yayasan Akalbudi’

Seorang pengurup wang, Omar Ali Abdullah memberitahu mahkamah bahawa Yayasan Al-Bukhari merupakan antara penyumbang yang menyerahkan sejumlah wang tunai kepadanya, untuk dimasukkan ke akaun Yayasan Akalbudi.

Kata Omar Ali, dalam satu pertemuan sekitar 2014, Ahmad Zahid telah meminta bantuannya untuk menguruskan kemasukan wang tunai ke dalam akaun Yayasan Akalbudi, dan menyerahkan nombor akaun yayasan kepadanya.

“OKT (Ahmad Zahid) pernah memberitahu saya bahawa ada penyumbang akan menghubungi saya untuk memberikan wang tunai kepada saya.

“OKT meminta saya untuk mengambil wang tunai tersebut daripada penyumbang dan meminta saya menukarkan wang tunai yang diterima itu dalam bentuk cek untuk dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi.

“OKT juga ada memberitahu saya bahawa kesemua penyumbang yang akan menghubungi saya datang dari Yayasan Al Bukhari,” katanya dalam pernyataan saksinya.

Omar Ali ialah saksi ke-81 perbicaraan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan Ahmad Zahid yang masuk hari ke-27 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Jelas Omar Ali, kira-kira seminggu kemudian, dia dihubungi seorang lelaki yang tidak dikenali untuk menyerahkan wang berkenaan dari Yayasan Al Bukhari dan wang itu diserahkan kepadanya di dalam bagasi (luggage) di aras bawah Plaza Fahrenheit.

Bagaimanapun, ketika disoal timbalan pendakwa raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong, dia mengaku tidak ingat jumlah yang diterima kali pertama itu.

Selepas itu, dia dihubungi lelaki-lelaki tidak dikenali dari Yayasan Al Bukhari dengan cara sama dan wang itu diterima, antaranya di tingkat bawah Plaza Fahrenheit, lobi Hotel Marriot dan lobi Hotel Grand Mellenium.

Menurut Omar Ali, setiap kali pertemuan, dia berurusan dengan lelaki yang berbeza.

Selepas menerima wang, Omar Ali berkata dia akan bertanya kepada kawan-kawannya jika mahu menukar wang tunai dengan cek mereka, sebelum cek tersebut dimasukkan ke akaun yayasan, seperti arahan Ahmad Zahid.

“Kebiasaannya saya akan mengambil masa antara satu atau dua minggu untuk habis menukarkan wang tunai tersebut kepada cek untuk dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi.

“Setiap kali saya menerima cek saya akan terus masukkan ke dalam akaun Yayayasan Akalbudi dan saya akan simpan slip kemasukkan cek tersebut sebagai bukti,” katanya sambil menambah slip tersebut kemudiannya akan diserahkan kepada Ahmad Zahid.

Bagaimanapun, katanya, sekitar awal 2016, dia diarahkan oleh Ahmad Zahid agar wang yang diterima selepas daripada itu untuk ditukarkan kepada cek dan dimasukkan ke dalam akaun Lewis & Co.

Menurut pertuduhan ke-27, Ahmad Zahid dituduh melakukan pengubahan wang haram antara 29 Mac 2016 hingga 15 Julai 2016, dengan melibatkan diri secara langsung dalam dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram.

Ahmad Zahid dituduh berbuat demikian dengan cara mengarahkan Omar Ali mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM6,885,300.20 kepada 30 keping cek yang kemudiannya diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co untuk tujuan pembelian simpanan tetap di Maybank.

Nama Omar Ali juga sering disebut oleh beberapa saksi sebelum ini yang mengesahkan memberikan wang tunai yang dikosongkan ruang penerima sebagai tukaran dengan wang tunai yang diserahkan Omar Ali kepada mereka.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah itu bersambung petang ini.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/536262

COMMENTS