Walaupun Zuraida tiada, PKR cabang Ampang terus utuh berdiri

Walaupun Zuraida tiada, PKR cabang Ampang terus utuh berdiri

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ampang masih bertahan meskipun kehilangan tiga wakil rakyat di kawasan itu termasuk Ahli Parlimennya, Zuraida Kamaruddin yang bertindak keluar parti.

Dua lagi wakil rakyat ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga keluar parti dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Talha yang dipecat keahlian daripada parti itu.

Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha menumbangkan PKR Cabang Ampang susulan episod pengkhianatan dalam parti ternyata tidak berjaya selepas langkah mengadakan sesi penerangan peringkat akar umbi dijalankan.

Menurutnya, PKR Ampang masih diyakini dan mampu kekal mempertahankan mandat rakyat yang dipegang masuk penggal ketiga Pilihan Raya Umum (PRU).

“Biarpun ada usaha oleh pemimpin berpengaruh di Selangor dengan beralih arah menjatuhkan kerajaan sendiri dan menubuhkan kerajaan baharu bersama kleptokrat tetapi tiada satu cabang di Selangor terbubar daripada episod pengkhianatan ini, ” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Wanita PKR Selangor Bersama Wanita Ampang di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kampung Ampang Indah di sini hari ini.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, nadi perjuangan reformasi tidak boleh dibawa dalam parti lain dan hanya terletak dalam PKR.

“Kalau ada mana-mana kelompok yang cuba untuk ‘copy paste’ atau bawa agenda reform, semuanya tidak kekal lama dan akan dimakan sejarah.

“Saya yakin sebesar manapun pemimpin itu, sejarah 20 tahun perjuangan kita dengan pahit getir, akhirnya parti ini kekal wadah terbaik untuk bawa agenda reformasi kepada Malaysia,” katanya.

Pada 4 Julai lalu, seramai 250 ahli PKR Cabang Ampang termasuk pemimpin peringkat jawatankuasa mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain senario pemecatan dan penggantungan ahli yang berat sebelah sehingga membawa kepada perpecahan parti.

Berita penuh :

COMMENTS