Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, menafikan dakwaan bahawa tiada pengurangan aktiviti persundalan di ibu negara.
Beliau berkata, data untuk tahun 2023 menunjukkan bahawa hanya 159 serbuan dan 540 tangkapan dilakukan
oleh pihak berkuasa berkaitan kes itu berbanding suku ketiga tahun ini.
Menurutnya, sejak penubuhan KL Strike Force, polis bersama agensi penguatkuasaan lain telah menyerbu 209 premis yang menawarkan perkhidmatan persundalan.
“Statistik serbuan dari 27 Mei 2024 hingga 30 September 2024 menunjukkan seramai 781 orang ditangkap.
Daripada jumlah tersebut, 149 adalah warga tempatan dan 632 adalah warga asing yang berusia antara 18 hingga 61 tahun,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Dr Zaliha berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang meminta penjelasan mengenai mengapa aktiviti persundalan di Kuala Lumpur masih tidak berkurangan walaupun KL Strike Force telah diaktifkan.
Sementara itu, Zaliha menyatakan bahawa pihaknya menghadapi cabaran dalam menangani aktiviti persundalan kerana sindiket terbabit kini mempunyai ‘hotspot’ terbaru.
Menurutnya, sindiket tersebut kini menjadikan kedai makan dan medan selera di sekitar Jalan Pudu dan Jalan Loke Yew sebagai lokasi untuk mengiklankan aktiviti tidak bermoral tersebut.
Bagaimanapun, beliau berjanji untuk memastikan Kuala Lumpur bebas dari segala aktiviti yang menyalahi undang-undang, termasuk persundalan.
“Saya juga menerima jolokan sebagai ‘wanita besi’ yang menjaga Kuala Lumpur. Saya ingin mengingatkan semua agar tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya di Kuala Lumpur,” katanya.
BACA: Menteri Kesihatan dedah ini negeri yang milik kanak-kanak terbantut paling ramai dalam negara