Salah satu alat yang memainkan peranan penting dalam menyelamatkan nyawa
semasa kecemasan di laut ialah Emergency Position Indicating Radio Beacon (EPIRB).
Menurut peraturan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dan Safety of Life at Sea (SOLAS),
setiap kapal komersial diwajibkan mempunyai EPIRB.
Alat ini merupakan sebahagian daripada Global Maritime Distress and Safety System (GMDSS) yang bertujuan untuk memastikan keselamatan kapal dan anak kapal sentiasa terjamin.
Bagaimana ia berfungsi? EPIRB direka khusus untuk menghantar isyarat kecemasan apabila berlaku keadaan yang mengancam nyawa, seperti kapal yang sedang tenggelam atau anak kapal yang berada dalam bahaya.
Isyarat ini memudahkan pasukan carian dan penyelamatan (SAR) untuk mengesan lokasi kapal atau individu yang dalam kecemasan.
EPIRB boleh diaktifkan secara manual oleh kru kapal atau secara automatik apabila terendam dalam air.
Untuk makluman, terdapat dua jenis EPIRB. Pertama, EPIRB Manual yang diaktifkan secara manual oleh anak kapal apabila berlaku kecemasan. Kedua, EPIRB Automatik yang diaktifkan secara automatik apabila alat ini bersentuhan dengan air dan biasanya disimpan dalam bekas yang bebas terapung (float-free bracket).
Setelah diaktifkan, EPIRB akan menghantar isyarat kecemasan secara berterusan pada frekuensi 406 MHz. Isyarat ini akan dikesan oleh satelit dalam sistem Cospas-Sarsat yang kemudiannya menyalurkan kedudukan lokasi kecemasan kepada pusat penyelarasan penyelamatan terdekat.
Kebanyakan EPIRB moden dilengkapi dengan teknologi GPS, membolehkannya menghantar koordinat tepat lokasi kapal yang berada dalam kecemasan. Ini mempercepatkan proses penyelamatan kerana pasukan SAR dapat tiba di lokasi dengan lebih pantas.
Selain itu, EPIRB dikuasakan oleh bateri tahan lama yang direka untuk menghantar isyarat kecemasan sekurang-kurangnya selama 48 jam selepas ia diaktifkan.
Bateri ini perlu diganti secara berkala mengikut peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan ia sentiasa berfungsi dengan baik.
Ujian berkala terhadap EPIRB juga sangat penting untuk memastikan ia berfungsi dengan baik. Kapal diwajibkan untuk menguji dan menyelenggara EPIRB sebagai sebahagian daripada latihan keselamatan dan pemeriksaan rutin mereka.
BACA: Selepas 100 cawangan Starbucks ditutup, TGI Fridays pula bankrap