Walaupun harga sayur dah turun tapi tak laku juga, ini sebenarnya yang terjadi. Harga sebahagian sayur-sayuran di negeri ini yang meningkat mendadak sehingga 100 peratus sejak dua bulan lalu kini sudah kembali stabil sejak kelmarin.
Penurunan harga itu dipercayai didorong oleh peningkatan semula hasil tanaman di Cameron Highlands, Pahang ekoran cuaca semakin baik.
Salah seorang peniaga, Maznah Awang, 53, berkata, tomato yang sebelum ini dijual pada harga RM12 sekilogram (kg) telah turun mendadak kepada RM5 sehingga RM6 sekilogram.
“Selain itu, harga timun juga turun kepada RM2.50 sekilogram hari ini (semalam) daripada harga sebelum iaitu RM6 sekilogram.
“Halia turut menunjukkan penurunan kepada RM8 sekilogram, kunyit (RM7/kg), lobak (RM4/kg) dan sawi (RM7/kg),” katanya ketika ditemui di Pasar Batu Enam di sini semalam.
Maznah menambah, cili padi juga kini berharga RM7 sekilogram, kacang panjang (RM7.50/kg), manakala harga salad, kacang panjang, daun sup dan daun bawang juga turun antara RM2 sehingga RM3 sekilogram.
“Kami berharap trend penurunan harga sayur kini kekal menjelang bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya tidak lama lagi,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga, Che Omar Che Sukri, 48, pula berkata, hasil jualan mereka di pasar basah masih perlahan walaupun harga sayur sudah semakin stabil.
“Sambutan pengguna masih dingin walaupun harga sayur telah turun lebih-lebih sekarang ini adalah cuti persekolahan.
“Mungkin mereka tidak tahu harga sayur sudah turun kerana sebelum ini, kebanyakan pengguna mengambil pendekatan berjimat cermat,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan pemerhatian, ramai pengguna ‘mengikat perut’ sebagai persediaan sesi persekolahan baharu dan bulan Ramadan yang tiba hampir serentak bulan depan.
“Ramai pelanggan kini beralih membeli sayur dan bahan lain di pasar raya untuk penjimatan,” katanya.
BACA:
Mukhriz lebih utamakan gabungan lain berbanding Gerakan Tanah Air – Tun M