Walaupun hadapi banyak masalah, pelancong Sweden pelik rakyat Malaysia sentiasa ‘happy go lucky’

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Seorang pelancong wanita dari Sweden meluahkan rasa pelik dan tertanya-tanya mengapa rakyat Malaysia

secara keseluruhannya kelihatan lebih gembira berbanding masyarakat di negaranya.

Menerusi video yang dikongsikan di akaun @blondethinks, wanita itu berkongsi persoalan yang bermain di fikirannya,

mendakwa rakyat Malaysia sentiasa kelihatan ceria ketika dia berada di Kuala Lumpur.

“Adakah hanya saya, atau orang di Kuala Lumpur sangat gembira sepanjang masa?” soalnya kepada penonton.

Walaupun hadapi banyak masalah, pelancong Sweden pelik rakyat Malaysia sentiasa 'happy go lucky'

Tambahnya, dia melihat sebuah keluarga besar yang terdiri daripada anak-anak dan orang dewasa sedang makan malam bersama-sama di sebelahnya.

Walaupun kanak-kanak itu membuat bising, dia mendapati mereka semua bergembira, tertawa, dan melompat-lompat ke sana ke mari. Wanita itu menganggap situasi tersebut manis dan menghiburkan.

“Di Sweden, saya jarang melihat kanak-kanak dan orang dewasa bersama dengan cara sebegini. Mereka juga tidak seceria rakyat Malaysia di sini,” katanya.

Melalui kapsyen, dia menjelaskan bahawa pandangannya adalah berdasarkan pemerhatian ketika berada di Kuala Lumpur.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tempatan berkongsi pandangan bahawa nilai kekeluargaan yang diterapkan dalam masyarakat Malaysia turut menyumbang kepada kegembiraan yang terpancar.

“Mungkin sebab kami tidak menghadapi musim sejuk atau mungkin kerana makanan tempatan yang lazat. Kemungkinan besar semua ini, ditambah dengan budaya bersyukur dengan apa yang dimiliki,” komen seorang netizen.

“Bukan kami tidak pernah ada perselisihan dalam keluarga, tetapi menyedari ada orang lain yang menghadapi perkara lebih teruk dari perselisihan kecil membuatkan kami lebih bersyukur mempunyai keluarga yang baik,” ujar seorang lagi.

“Hidup ini sangat mencabar, tetapi kami menghargai walaupun perkara kecil dalam hidup. Hidup mesti diteruskan,” kata seorang netizen tempatan.

Ada juga yang berpendapat bahawa sifat positif ini lahir kerana ramai yang reda dan bersyukur dengan rezeki dan keharmonian yang dinikmati selama ini.

BACA: Wanita ajar cara pantas lagi mujarab bersihkan kotor pada selipar viral