Waktu perniagaan beberapa kawasan di daerah Kulim diterhadkan

Waktu perniagaan beberapa kawasan di daerah Kulim diterhadkan

Majlis Perbandaran Kulim mengenakan sekatan waktu perniagaan di beberapa mukim berikutan wabak Covid-19 di daerah tersebut.

Dalam notis yang disiarkan di laman Facebook malam tadi, ia mengatakan bahawa semua perniagaan hanya boleh beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam berkuat kuasa semalam.

Bagaimanapun pengecualian diberikan kepada stesen minyak (tidak termasuk kedai serbaneka di stesen minyak), klinik, pasar borong, dan kilang yang dibenarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Di samping itu, restoran hanya dibenarkan menawarkan perkhidmatan menjual makanan bungkus untuk dibawa pulang atau pandu lalu.

Majlis Perbandaran Kulim juga menyenaraikan pasar yang telah diperintahkan untuk ditutup buat sementara waktu, yang pada mula hanya melibatkan dua pasar malam hingga kini enam pasar pagi dan pasar malam.

Notis pemberitahuan itu disertakan dengan peta yang menggambarkan kawasan-kawasan yang dikenakan sekatan itu, yang meliputi mukim Keladi, Padang Cina, Karangan, Padang Meha, dan juga daerah sekitar Kelang Lama.

Langkah itu dilakukan ketika daerah berkenaan dilanda dua gelombang jangkitan Covid-19 iaitu melalui Kluster Sivagangga dan Kluster Tawar.

Menurut Kementerian Kesihatan, 21 kes Covid-19 telah dilaporkan di Kulim antara 5 Ogos hingga 18 Ogos.

Ini termasuk sekolah yang terpaksa ditutup setelah seorang guru dan empat pelajar di Padang Meha dijangkiti wabak itu.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/539201

COMMENTS