Menjadi wakil rakyat pembangkang bukan alasan untuk tidak menjalankan tanggungjawab,
kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Menurut beliau, meskipun wakil rakyat pembangkang mungkin menghadapi kekurangan peruntukan
Mereka perlu kreatif mencari sumber kewangan dengan memanfaatkan kuasa yang ada.
“Wakil rakyat kena kreatif dalam mencari sumber kewangan.
Mereka perlu pandai menguruskan kuasa, sama ada sebagai pembangkang di peringkat Persekutuan atau dalam sebuah kerajaan sekalipun.
Yang penting, arahan dilaksanakan. Kalau menjadi wakil rakyat pembangkang, adakah jawapannya hanya ‘saya tak ada duit dari kerajaan’?” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjadi panel dalam program ‘Platform MG Siri 4: YB Muda Buat Kerja Atau Sekadar Popular?’ di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) malam tadi.
Tambahnya lagi, wakil rakyat perlu berusaha untuk memastikan masalah rakyat di kawasan mereka dapat diselesaikan.
“Kalau tak dapat selesaikan banyak, selesaikan apa yang mampu. Kalau tak dapat selesaikan satu masalah besar, buat gotong-royong atau usaha kecil lain pun memadai sebagai bukti usaha,” ujarnya.
Seorang lagi panel program tersebut, ADUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, menyatakan bahawa peruntukan sebanyak RM150,000 setahun yang diterima ADUN tidak mencukupi untuk membantu masyarakat setempat sepenuhnya.
Sehubungan itu, beliau berkata wakil rakyat perlu mencari sumber dana tambahan, seperti penaja, untuk menampung kekurangan peruntukan.
“Dengan jumlah itu setahun, apa yang boleh kita buat? Kita kena bijak mencari sponsor. Itu cabaran kami, dan dana itu digunakan untuk membantu mangsa banjir, membaiki bumbung, dan pelbagai keperluan lain,” tambahnya.
BACA: Walaupun hadapi banyak masalah, pelancong Sweden pelik rakyat Malaysia sentiasa ‘happy go lucky’