Wajibkan ujian Covid-19 untuk rentas negeri? Ini penjelasan Khairy

Wajibkan ujian Covid-19 untuk rentas negeri.Kerajaan tidak bercadang menguatkuasakan arahan bagi mewajibkan ujian Covid-19 kepada individu yang mahu melakukan rentas negeri tidak lama lagi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, tiada kaedah untuk pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengawal mereka yang tidak divaksin untuk melakukan rentas negeri, namun semua individu dinasihatkan melakukan ujian kendiri sebelum pulang ke kampung.

“Hanya rentas negeri untuk divaksinasi…tidak ada cara untuk kita kawal mereka yang tidak divaksin. Kita tak mahu terlalu banyak SOP dalam hal rentas negeri, takkan kita nak suruh mereka dapat permit dulu baru boleh balik kampung.

“Sekarang sudah dekat 90% (kadar vaksinasi dewasa), jadi hanya kawalan kendiri paling penting dan pada masa sama SOP yang ada kekal dan dipatuhi,” katanya pada sidang media.

Beliau turut menegaskan agak mustahil bagi polis melakukan sekatan jalan raya hanya untuk memeriksa status vaksinasi setiap pengguna jalan raya.

Wajibkan

“Takkan kita nak ada sekatan jalan raya nak semak semua orang yang keluar (rentas negeri), sekiranya tiada kita suruh buat test (ujian) di sana juga. Ini bukan macam gelembung Langkawi yang tak ramai dan kita boleh suruh mereka buat ujian di lapangan terbang pada waktu itu juga.

“Sangat mustahil kita nak semak satu-satu cuma SOP yang sedia ada akan terus dipakai,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata kerajaan akan membenarkan pergerakan rentas negeri dalam tempoh beberapa hari lagi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai yang mahu melakukan pergerakan rentas negeri mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan SOP ketat.

Kit ujian kendiri Covid-19

Mengenai desakan persatuan pengguna supaya menurunkan harga kawalan kit ujian kendiri Covid-19 bawah RM10, Khairy berkata, kerajaan bersedia untuk menurunkan lagi harga kit berkenaan pada masa depan dan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga sudah dibuat.

Bagaimanapun, ia memerlukan sedikit tempoh peralihan memandangkan harga siling kit ujian kendiri Covid-19 itu baru sahaja diturunkan pada 5 September.

“KKM telah bincang dengan KPDNHEP untuk turunkan lagi harga kit ujian kendiri Covid-19, mungkin kita akan umum dalam tempoh akan datang tetapi ia mengambil masa peralihan agar pembeli yang telah membeli stok sedia ada dapat habiskan dahulu stok mereka.

“Kita sudah ada harga yang kita sarankan supaya harga siling baru nanti adil kepada pengguna dan pembekal. Cuma perlu ada tempoh peralihan sedikit,” katanya.

Ketika ini, kerajaan menguatkuasakan harga kawalan bagi kit ujian kendiri Covid-19 dijual pada harga maksimum RM19.90 bagi runcit dan RM16 bagi borong.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/10/07/tiada-cadangan-wajib-ujian-covid-19-untuk-rentas-negeri-kata-kj/

BACA: Shahidan dedah nombor telefon peribadi, hubungi jika jumpa jalan berlubang di KL

CATEGORIES